suria

UPSR: Cacat Pendengaran Tidak Halang Izzatul Cemerlang

IPOH: Kecacatan pendengaran yang dialami Izzatul Husna Mohd Jaffri, 12, sejak lahir tidak menghalangnya untuk berjaya menjadi murid pertama memperolehi 1A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Ipoh, selepas 12 tahun.

Pelajar perempuan sekolah itu membuktikan, dia juga mampu untuk mencipta kejayaan seperti rakan-rakan normal lain asalkan ada kesungguhan dan kegigihan.

Izzatul Husna yang bercita-cita mahu menjadi seorang guru mencatatkan 1A bagi subjek Bahasa Melayu (penulisan), B bagi Matematik, Sains dan Bahasa Melayu (Pemahaman) serta C bagi subjek Bahasa Inggeris.

Guru Bahasa Melayu, Ahaniza Jaafar yang bercakap bagi pihak Izzatul berkata kekurangan yang ada pada anak muridnya menjadi faktor untuk berusaha lebih gigih berbanding orang lain.

"Saya ingin buktikan orang kurang upaya (OKU) juga boleh berjaya. Di sekolah ada program-program tahun enam, di samping membentuk latihan bersama program yang boleh membantu meningkatkan pencapaian murid," katanya.

"Selalu berdoa kepada Allah supaya berjaya, berbuat baik dan sokongan daripada keluarga menjadikan kejayaan kepada apa yang saya capai hari ini.

Malah berasa bangga dan gembira apabila menjadi murid pertama memecah rekod mendapat A di sekolah," katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan peperiksaan UPSR 2014 di sini, Rabu.

Ibu beliau, Marhamah Embon, 50, ketika ditemui pula berkata anak ketiga daripada lima beradik itu adalah seorang anak yang rajin mengulang kaji pelajaran.

"Seorang anak yang baik dan suka mengulang kaji pelajaran. Walaupun pada kes bocor kertas UPSR, tetapi atas dorongan guru besar dan guru-guru lain memberi semangat kepada Izzatul untuk terus belajar," katanya sambil menambah kakak dan adik bongsu Izzatul Husna juga cacat pendengaran sejak lahir.

Sementara itu, Zainab Karmilawati Karim, 12, murid Sekolah Kebangsaan Pasukan Polis Hutan Ulu Kinta, di sini yang berasal dari perkampungan Orang Asli Kampung Bukit Serok, Pahang, berazam untuk menjadi insan yang cemerlang dan dia yakin ia boleh dicapai melalui pendidikan.

Zainab yang bercita-cita menjadi seorang doktor haiwan berkata beliau menyedari kepentingan pendidikan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Menurut beliau yang agak kecewa apabila berlakunya kebocoran kertas peperiksaan UPSR pada Sept lepas, berkata ia bukan penghalang untuk dia terus berusaha untuk memperoleh 5A dalam UPSR.

"Masa itu saya tertekan sangat tapi atas dorongan guru dan ibu bapa, saya teruskan juga dengan membuat latihan dengan banyak," katanya yang tinggal bersama keluarganya di Kem Pasukan Gerakan Am Ulu Kinta.

Terdahulu, Pengarah Pendidikan Negeri Mohd Idris Ramli mengumumkan sebanyak 2,847 atau 7.6 peratus daripada 37,479 murid yang menduduki UPSR di negeri ini lulus cemerlang dengan memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran pada tahun ini.

Beliau berkata peratusan calon yang mencapai keputusan cemerlang itu bagaimanapun mengalami sedikit penurunan berbanding 8.49 peratus tahun lepas.


UPSR

Artikel Lain