suria

Warga Emas Temui Mayat Murid Lemas

KUALA TERENGGANU: Seorang murid lelaki berusia sembilan tahun ditemui lemas di Pantai Kuala Ibai berhampiran Masjid Tengku Tengah Zaharah atau juga dikenali Masjid Terapung, di sini, Rabu.

Mayat Ibrahim Fikri Rosli ditemui seorang warga emas yang ketika itu sedang bersiar-siar bersama cucunya di pesisiran pantai berkenaan.

Menurut Mustafa Ngah, 61, sudah menjadi kebiasaan baginya bersiar-siar mengambil angin di pantai jika tidak turun menjala ikan di laut.

Bagaimanapun ketika melakukan aktiviti harian itu, beliau terkejut menemui tubuh seorang kanak-kanak terdampar di pantai dipercayai mati lemas kerana dibawa oleh arus deras.

"Semasa saya jumpa, kanak-kanak itu sudah kaku dan badannya dipenuhi pasir. Saya cuba angkat dan bawanya ke tepi pantai dengan pertolongan orang ramai yang kebetulan berada di situ sebelum menghubungi polis," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira 3 petang ketika mangsa sedang mandi bersama rakannya berdasarkan maklumat orang awam serta penemuan beberapa pasang kasut dan baju di pesisir pantai tersebut.

Bagaimanapun, ketika kejadian, rakan mangsa tidak kelihatan dan dikatakan bertindak melarikan diri kerana takut selepas melihat mangsa terkapai-kapai dibawa arus deras.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Balai Penyelamat Terengganu, Abdullah Zawawi Mohamed berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 3.21 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian bersama enam anggota dan sebuah jentera.

Katanya ketika tiba di lokasi, mayat mangsa telah ditemui oleh orang awam yang kebetulan berada di tempat kejadian.

Kuala Ibai

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain