suria

PAU 2014: Puteri Umno Tolak Program 'Menunjuk-Nunjuk', Bazir Dana Awam

KUALA LUMPUR: Pergerakan Puteri Umno menggesa kerajaan supaya menilai semula setiap program pembangunan masyarakat yang dilihat gagal mencapai sasaran.

Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, banyak wang telah dihabiskan untuk melaksanakan program yang bersifat populis semata-mata tetapi menunjukkan hasil yang tidak seberapa.

"Kita tak mahu program tersebut sekadar menghabiskan wang kerajaan atau menunjuk-nunjuk tetapi golongan sasar tidak menikmati hasilnya," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar ketua Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu.

Beliau berkata, adalah memadai jika program sederhana dianjurkan tetapi pengisiannya memberi nilai dan makna holistik kepada orang muda.

"Tak perlu buat karnival atau fiesta untuk orang muda sehingga berhabis jutaan ringgit. Itu satu pembaziran," katanya.

Berucap dalam konteks wanita muda berkerjaya, Ahli Parlimen Masjid Tanah ini berkata, kerajaan perlu menyediakan lebih banyak inisiatif kepada Puteri untuk memulakan kerjaya, sama ada di pejabat atau 'work-home based'.

Antara yang dicadangkan ialah memberi inisiatif potongan cukai dan beberapa keistimewaan khas kepada mereka.

Turut dicadangkan, penambahbaikan terhadap Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) yang dilaksanakan untuk membantu graduan mendapatkan pekerjaan dengan kerjasama syarikat milik kerajaan (GLC).

"Masih ramai yang menganggur kerana skim tersebut tidak dipelopori secara meluas.

"Puteri mencadangkan agar penambahbaikan dilakukan terhadap SL1M dengan mempelbagaikan cera hebahan seperti melalui akhbar, radio, Facebook dan lain-lain," katanya.




Puteri Umno, populis, SL1M

Artikel Lain