KUALA LUMPUR: Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mendedahkan ada usaha untuk ‘menyembelih’ karier politiknya dalam Umno. Bagaimanapun, Ketua Wanita Umno itu menegaskan, beliau tidak akan sesekali berundur daripada kedudukannya sekarang hanya kerana cubaan pihak tertentu untuk menjatuhkannya. “Saya tahu ada mulut-mulut capoi yang akan cakap belakang-belakang… sebab hari-hari ada sahaja orang nak sembelih saya,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pengulungan Pergerakan Wanita Umno di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Rabu. Malah, katanya, beliau akan terus menduduki kerusi Ketua Wanita itu selagi kuota sebanyak 30 peratus wanita memegang jawatan sebagai pembuat dasar tidak dipenuhi. "Saya tidak akan letak jawatan selagi 30 peratus wanita tidak memegang jawatan dalam bidang korporat,” katanya. Sementara itu, Shahrizat berkata, gesaan Wanita Umno supaya Akta Hasutan 1948 tidak dihapuskan tidak ada kaitan dengan agenda Melayu. Sebaliknya, jelas beliau, ia dilakukan demi menjaga keharmonian, keselamatan dan perpaduan kaum di negara ini. "Ada segelintir pihak kata ini agenda Melayu, ini bukan agenda Melayu, ini agenda Rakyat. Kita mesti jaga semua perkara dalam Perlembagaan termasuk bukan Melayu,” katanya. Justeru, Shahrizat mengesa agar kerajaan mengkaji semula cadangan untuk memansuhkan akta yang disifatkan sebagai senjata terakhir dalam mempertahankan agama, institusi raja dan orang Melayu.