KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan untuk mempertimbangkan cadangan supaya satu kerusi khas jawatan naib presiden diperuntukkan kepada Wanita Umno. Malah Presiden Umno itu turut berjanji untuk mengkaji kemungkinan membuka laluan kepada wanita menjawat jawatan Naib Ketua Umno Bahagian. Mengakui wujudnya 'tentangan' terhadap cadangan berkenaan, Najib bagaimanapun mahu ia diperhalusi dengan baik. "Saya dengar...kita akan pertimbangkan setelah adakan rundingan dengan semua pihak sama ada jawatan naib presiden atau naib ketua bahagian untuk wanita. "Saya faham ada tentangan dalam perkara ini, tetapi sebagai sebuah parti, kita kena duduk berbincang untuk kukuhkan parti," katanya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung Umno 2014 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Khamis. Sebelum ini, Wanita Umno turut diiktiraf sebagai tulang belakang Umno, selain digelar 'srikandi negara' sebagai menghargai sumbangan mereka dalam parti itu. Ketika menyentuh mengenai permintaan Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno supaya mereka diberikan lebih peranan, Najib berkata, ia bergantung kepada kriteria yang perlu dipenuhi. "Kita sedia menimbang tapi dengan syarat mereka (calon) yang dikemukakan nanti menepati kriteria yang ditetapkan. "Mereka mesti diuji. Saya dan timbalan presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) akan jadi supervisor," katanya.