Polis menerima panggilan pada kira-kira 5 petang oleh seorang penduduk kampung yang memaklumkan pihak berkuasa mengenai mayat berkenaan.
"Lelaki itu melalui kawasan sungai berkenaan dan ternampak satu bungkusan kain berwarna biru terapung di permukaan sungai. Beliau melihat lebih dekat sebelum ternampak ia (bungkusan) menyerupai bentuk manusia.
"Pemeriksaan polis mendapati dalam bungkusan itu ada mayat seorang lelaki. Bagaimanapun, tiada sebarang identiti ditemui bersamanya," kata jurucakap polis di sini, Khamis.
Mayat itu ditemui dalam keadaan bogel dan terapung.
"Pemeriksaan awal tidak menemui sebarang kesan kecederaan pada kedua-dua mayat berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.
Jurucakap polis itu berkata kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Beliau turut meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga atau kenalan supaya membuat laporan polis.