KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi memberitahu Mahkamah Tinggi pada Jumaat bahawa beliau tidak pernah ditawarkan rasuah untuk melompat parti, berbeza dengan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aham dan beberapa Ahli Parlimen Sabah yang lain.
Raime berkata beliau bertemu Anifah dan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee di Le Meridien Sabah pada 2008 untuk membincangkan mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa memujuk Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Sabah untuk melompat parti.
Katanya, Anifah membangkitkan isu tersebut dan bertanya kepada beliau sekiranya ada menerima tawaran tersebut kerana Ronald ditawarkan sebanyak RM5 juta untuk melompat parti.
Pada Khamis, Anifah memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, bahawa seorang kawan rapat Anwar Ibrahim telah menawarkan kepadanya RM100 juta untuk membawa 10 ahli parlimen BN Sabah supaya melompat parti.
Apabila peguam Anifah, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bertanya mengenai reaksi Anifah terhadap tawaran itu, Raime berkata Anifah kelihatan 'marah dan berasa terhina'.
Menurut Raime, Anifah menggelar individu tersebut sebagai orang Anwar tetapi Raime tidak dapat mengenal pasti siapa individu terbabit.