KUALA LUMPUR: Ketua Puteri Umno mengingatkan Barisan Nasional (BN) supaya sedar akan keperluan Akta Hasutan 1948. Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, beliau terkejut dengan beberapa reaksi daripada pemimpin-pemimpin parti komponen BN di Twitter yang tidak tahu betapa pentingnya akta itu. "Saya terkejut membaca beberapa tweet pemimpin-pemimpin parti komponen yang lain. "Tidakkah mereka tahu betapa pentingnya akta itu?," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Sabtu. Beliau juga mengingatkan ahli-ahli Puteri untuk menguasai dunia siber dan melawan tuduhan tidak berasas terhadap parti melalui gerakan 'Semut Api' sayap itu. "Setiap dakwaan membimbangkan kita. Dakwaan tidak berasas dan jenayah siber amat berleluasa hari ini. Kami, tentera merah jambu ... juga akan menjadi tentera siber! "Kami harus menggunakan dunia siber secara positif. Ramai perwakilan menyokong gerakan 'Semut Api' kami. "Kami akan cuba memasuki setiap rumah di Malaysia untuk memastikan bahawa janji BN untuk menyatukan rakyat berjaya," katanya yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah. Mengenai kebajikan terhadap isteri-isteri tentera, beliau mencadangkan supaya kerajaan mensyaratkan supaya 10 peratus daripada gaji suami diberikan kepada mereka. "Jika ini berlaku, maka mereka adalah wira sejati Malaysia. Kami juga berharap Menteri Pertahanan juga akan memberikan 10 peratus daripada gaji kepada isterinya," selorohnya.