KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya akan melancarkan aplikasi aduan menerusi laman media sosial yang menetapkan sasaran tindakan balas dalam tempoh 24 jam. Menterinya, Datuk Fadillah Yusof berkata, langkah untuk memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat itu kini di peringkat akhir ujian sebelum dilaksanakan tahun depan. "Aplikasi aduan ini khusus untuk rakyat yang juga pengguna jalan raya dan lebuh raya di negara yang akan menjadi 'mata dan telinga' kementerian. "Aduan boleh disampaikan dengan menghantar gambar berkaitan masalah lopak dan papan tanda misalnya, ke laman media sosial khusus sebelum tindakan susulan diambil, bagaimanapun tempoh maklum balas mengikut jenis aduan yang diterima," katanya pada malam media KKR di sini, Isnin malam. Fadillah berkata, aplikasi itu akan menggunakan google map bagi mengesan lokasi sebenar kejadian yang dirakamkan pengguna. "Aplikasi yang dibentuk ini menumpukan kepada masalah membabitkan jalan raya persekutuan, lebuh raya, selain jalan negeri dan daerah di mana aduan itu akan disalurkan kepada negeri berkenaan," katanya. Beliau berkata, walaupun pihaknya menggunakan twitter untuk tujuan sama ketika ini tetapi ia tidak begitu tepat dan menyukarkan pihaknya menangani masalah kerana lokasi kurang tepat. Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk menggunakan aplikasi sama bagi tujuan kecemasan terutama di lebuh raya yang boleh dihubungkan dengan pasukan peronda.