KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh meminta para pelajar supaya menguasai bahasa ketiga untuk lebih berdaya saing di peringkat global. Beliau berkata, menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, kerajaan mengambil inisiatif mengajar mereka belajar bahasa ketiga itu. "... (menerusi pelan itu) sudah ada banyak sekolah kebangsaan yang mengajar bahasa Mandarin dan bahasa Tamil, kita sentiasa menggalakkan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Pembelajaran Sepanjang Hayat 2014 anjuran bersama Kementerian Pendikan dan Universiti Terbuka Malaysia (OUM) di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Isnin. Turut hadir Presiden dan Naib Canselor OUM Prof Emeritus Tan Sri Anuwar Ali. Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno 2014 Sabtu lepas berkata, kementerian bercadang menjadikan bahasa ketiga sebagai mata pelajaran elektif. Pengumuman itu dibuat Muhyiddin sebagai reaksi kepada usul cadangan Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada perhimpunan sama yang berpendapat pembelajaran bahasa ketiga seperti Arab, Mandarin dan Tamil sebagai mata pelajaran elektif mampu berperanan sebagai alat komunikasi penting dalam aspek perpaduan. "Kalau kita lihat perkara ini (penguasaan bahasa), ia bukan satu perkara baharu seperti di negara Eropah, mereka boleh menguasai empat bahasa misalnya bahasa Inggeris, Perancis, Jerman dan Itali," kata Idris. Beliau berkata, sebagai langkah membudayakan pembelajaran bahasa ketiga, empat sekolah kebangsaan di Besut akan memulakan pengajaran Bahasa Mandarin di kalangan pelajar Melayu bermula tahun depan. Mengenai Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH), Idris berkata, ia merupakan wadah terbaik bagi meningkatkan lagi potensi seseorang individu dan rakyat secara keseluruhannya tanpa batasan usia, masa dan tempat. Seminar dua hari itu, yang berakhir esok, bertemakan 'Pembelajaran Sepanjang Hayat sebagai Tonggak Ketiga Pembangunan Modal Insan: Isu dan Cabaran'. Kira-kira 300 peserta dari agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi mengambil bahagian.