suria

OUM Kurangkan Yuran Pengajian Untuk Banduan

Gambar hiasan.

PETALING JAYA: Program pembelajaran jarak jauh untuk banduan mendapat sambutan baik apabila universiti terlibat berminat untuk mengurangkan yuran bagi yang terpilih.

Sehingga kini Universiti Terbuka Malaysia (OUM) mengecualikan yuran semester pertama kepada 25 banduan yang mendaftar dalam program pembelajaran jarak jauh.

Presiden OUM dan Naib Canselor, Tan Sri Anuwar Ali berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan dengan Jabatan Penjara untuk menyediakan pendidikan tinggi kepada kumpulan itu.

Setakat ini, empat orang banduan berjaya menamatkan pengajian di peringkat ijazah dan dua lagi mendapat kelulusan diploma.

Walau bagaimanapun banduan yang dijatuhi hukuman mati dan mereka yang menjalani hukuman penjara seumur hidup adalah dikecualikan.

"Kami amat berbangga dengan kerjasama dengan pihak Jabatan Penjara. Kami benar-benar berharap bahawa ia akan meningkatkan minat tahanan lain," kata Anuwar.

Pada masa ini, 53 banduan yang kebanyakannya wanita sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian Islam dan kursus pengurusan perniagaan.

Selain memenuhi kriteria pendidikan yang ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), banduan perlu mendapatkan kelulusan daripada Ketua Pengarah Penjara sebelum mereka dibenarkan untuk mendaftar.

Setelah diterima, mereka akan diberi surat kemasukan diikuti dengan taklimat oleh wakil fakulti kepada banduan dan pengawal mereka.

Banduan diberikan kemudahan yang seperti pelajar OUM biasa, tetapi mereka mesti berada di bawah pengawasan yang ketat oleh pihak berkuasa penjara.

Artikel Lain