Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Md Zain Mohd Saedin berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 8.23 malam tadi dan setakat ini keadaan di kawasan kejadian tidak berubah.
"Pemantauan pagi ini mendapati pergerakan tanah tidak lagi berlaku namun situasi itu masih bahaya, bahagian tepi laluan masih ada keretakan tanah dan ia boleh merebak," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Selasa.
Beliau berkata pihaknya juga mendapati ada paip air pecah di bahagian bawah tepi laluan itu kerana air masih keluar.
Pemantauan di kawasan kejadian masih dilakukan oleh pihaknya, anggota Jabatan Sukarelawan, Jabatan Pertahanan Awam dan Jabatan Kerja Raya (JKR), katanya.
Md Zain berkata laluan itu akan dibuka selepas JKR mengambil tindakan membaikinya dan memastikan ia selamat untuk digunakan kepada semua kenderaan.