suria

Hanya Solidariti Dapat Elakkan Penjajahan Semula

ADA suatu ungkapan yang kita sering dengar, namun selalu mengabaikannya: "Bersatu kita teguh bercerai kita runtuh."

Ungkapan pendek dan padat ini membawa maksud yang sangat besar.  Ia merupakan mesej perihal perpaduan, kekitaan, kerjasama antara satu sama lain dan sayang-menyayangi bagaikan satu keluarga yang besar.

Ia merangkumi cinta terhadap alif ba ta (agama,bangsa dan tanahair) yang bererti kita berusaha untuk buat yang terbaik demi pembangunan ummah, kemakmuran rakyat dan kesejahteraan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah mengungkapkan mesej ini dalam ucaptama beliau di Perhimpunan Agung Umno yang baru saja selesai, Sabtu lalu.

Beliau mengungkapkan mesej ini dalam satu perkataan - 'Solidariti'.

Tentunya ini satu amanat yang sangat bermakna bagi sekalian tiga juta orang ahli parti tersebut, dari Perlis hinggalah ke Sabah.

Lebih mustahak, ia juga suatu peringatan bagi seluruh rakyat Malaysia seramai 27 juta insan agar tidak berpecah-belah bagi mencapai kejayaan yang lebih memberangsangkan dari sekarang.

Mesej ini sangat penting di masa kini, tatkala negara kita sedang berdepan dengan pelbagai ancaman dari dalam dan luar negara apatah lagi fragmentasi politik juga amat terasa pada saat ini.

Nafsu mereka yang ingin menjadi penguasa, walaupun pilihan raya umum ke-13 sudah lama melabuhkan tirai dan memberi keputusan muktamad, sedang berada pada titik terdesak dan kelam-kabut.

Penulis bimbang setiap kali meninjau posting di Facebook serta beberapa blog dan portal berita, mendapati kebanyakkan nukilan lebih cenderung kepada usaha memecah-belahkan persaudaraan rakyat.

Solidaritas, ungkapan yang juga biasa didengari, kelihatan seperti tidak wujud di ketika ini kerana suhu politik yang belum habis padam panasnya.

Kita harus merasa sedih jika rakyat jelata tidak mencapai kemajuan yang diharapkan dalam memerangi rasuah, kemiskinan dan kemerosotan akhlak di kalangan penduduk khususnya di kalangan muda-mudi.

SATU PANJI, SATU PAYUNG

Amalan hormat-menghormati digalakkan dalam mencari perpaduan di antara kaum, agar kita dapat mencapai kata sepakat dalam mencipta kejayaan yang lebih besar untuk negara di masa hadapan daripada apa yang telah kita perolehi selama ini.

Sebagai seorang penganut Islam, penulis memahami segala firman Allah swt kepada umatNya untuk bersatu-padu dan juga dengan kaum-kaum yang berlainan agama yang turut mendiami di bawah satu panji dan payung negara.

Penulis tidak lupa nasihat tok-tok guru dan alim ulama yang pernah memberi nasihat, berpandu kepada beberapa Hadis bahawa: “Kita hendaklah menyayangi saudara kita, seperti mana kita mengasihi diri kita sendiri.”

Sesungguhnya, perpaduan amat bernilai dalam Islam dan ini dicerminkan melalui pelbagai kerja dan urusan beribadah seseorang Muslim.

Misalnya, solat berjemaah juga dikira perpaduan kerana dikerjakan dalam saf dan secara berkumpulan.

Berpuasa di bulan Ramadan yang membabitkan setiap orang Islam, merupakan perpaduan dalam waktu yang khusus.

Mengerjakan ibadah Haji juga adalah satu bentuk perpaduan pada waktu dan tempat yang khusus; di mana beberapa langkah diambil untuk menyempurnakannnya.

Maka, kita diajar mengenai perpaduan walaupun dalam beribadah.

Namun, selain kita dengan Allah swt, perpaduan janganlah diabaikan sesama insan.

Perpaduan amat mustahak di dalam mana-mana masyarakat, kumpulan atau pertubuhan untuk mencapai wawasan dan matlamat masing-masing.

Jika boleh diandaikan masyarakat sebagai satu tubuh badan, tentunya perpaduan adalah kesihatan bagi badan itu.

Maka, langkah seterusnya ialah mengenalpasti penyebab-penyebab penyakit dan merawatnya.

Jika tidak, tentunya badan itu akan menjadi lesu dan kalau terus dibiar tanpa rawatan akan menjadi tenat serta bakal membawa maut.

Para ulama sering mengingatkan kita bahawa di antara penyakit-penyakit akhlak yang selalu mengganggu kita ialah perasaan hasad dengki, fitnah, tohmahan, mengumpat dan syak-wasangka.

Juga, isu-isu seperti perkauman adalah di antara penyakit-penyakit yang membawa padah kepada negara; lebih-lebih lagi negara milik kita yang berpaksi kepada kedaulatan alif ba ta.

Kesemua yang tersebut membawa kepada perpecahaan kaum, masyarakat dan ummah.

Sesungguhnya, umat manusia, di sisi Allah swt, diciptakan sama; cuma yang membezakan kita adalah amalan, tanggungjawab dan ketakwaan kita kepada Yang Maha Esa.

Kita mesti nyahkan sikap fitnah-memfitnah di antara satu sama lain kerana, akhirnya, akan hanya memberi manfaat kepada musuh-musuh yang kita tidak dapat melihat tapi kita menyedari ia bersembunyi di kalangan masyarakat di mana kita tinggal dan bekerja.

Gagal mewujudkan perpaduan dan kesetiakawanan, negara mudah “dijajah” kembali; tidak dengan menggunakan kekuatan senjata tapi dengan pengaruh kekuatan politik, ekonomi dan budaya asing.

Sambutlah laungan Solidariti.

Umno, Solidariti, Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain