suria

Lebih 10,000 Rakyat Malaysia Hantar Nama Misi Ke Marikh

Kapal angkasa Orion dalam persediaannya untuk dilancarkan di Stesen Tentera Udara Cape Canaveral di Florida, Amerika Syarikat. Foto EPA
PETALING JAYA: Misi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Nasional (Nasa) ke planet Marikh bakal dilancarkan di Stesen Tentera Udara Cape Canaveral di Florida, Amerika Syarikat (AS) pada pukul 7.05 pagi (8.05 malam waktu tempatan) pada Khamis.

 

Menurut laman web Nasa, seramai 10,553 nama rakyat Malaysia menerima "pas berlepas" untuk mengabadikan nama mereka dalam ujian penerbangan Orion pada 4 Disember.

Jumlah itu menempatkan Malaysia pada kedudukan ke-17 dalam senarai 231 lokasi yang membuat penyerahan nama itu.

Tempoh masa pelancaran "tingkap" bagi penerbangan itu, yang ditandakan sebagai 'Exploration Flight Test-1' adalah dua jam dan 39 minit.

Sejumlah 1,379,961 nama akan dibawa dalam penerbangan kapal angkasa Orion menerusi satu mikrocip bersaiz sekeping silikon kecil berukuran 0.8 sentimeter, yang mana perjalanannya adalah lebih jauh dari mana-mana penerbangan kapal angkasa lepas yang dikendalikan manusia sejak lebih 40 tahun.

"Sasaran pelancaran dari Stesen Tentera Udara Cape Canaveral pada Khamis iaitu penerbangan pertama Orion dijangka bagi mengesahkan kajian dan ujian bertahun-tahun yang dikendalikan antara terowong angin Nasa dan makmal aeronautikal di seluruh negara," kata Pengarah Misi Penyelidikan Aeronautik Nasa, Jim Banke. 

Kapsul Orion tanpa kru itu sebagai permulaan akan diuji dengan mengorbit mengelilingi Bumi, dijangka selesai dalam misi empat setengah jamnya, yang mencapai altitud tertinggi 3,600 batu, sebelum memasuki Bumi semula dan mendarat di Lautan Pasifik.

Penerbangan itu direka untuk menguji banyak elemen yang menimbulkan risiko besar kepada angkasawan dan akan menyediakan data penting yang diperlukan untuk menambah baik rekaan Orion dan mengurangkan risiko untuk misi kru pada masa akan datang.

Nasa mengatakan pada masa akan datang, mereka akan menghantar Orion ke Marikh, dan nama-nama yang dikumpulkan ini akan dihantar ke sana melalui mikrocip tersebut.

"Ramalan cuaca terus memperlihatkan keadaan yang baik pada masa pelancaran dan tiada masalah teknikal yang dilaporkan pada malam ini," menurut blog Nasa yang bertarikh 4 Disember.

Tarikh tutup bagi menerima "pas berlepas" peribadi bagi ujian penerbangan Orion adalah Jumaat, 31 Oktober lalu.

Bagaimanapun, orang awam mempunyai peluang untuk terus menghantar nama mereka selepas 31 Oktober untuk disertakan di dalam ujian penerbangan yang akan datang dan misi Nasa ke Marikh pada masa akan datang.

Maklumat lanjut boleh layari laman web www.nasa.gov/orion.


Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia