suria

Cadangan Akta Keharmonian Nasional Masih Dibincang

KUALA LUMPUR: Cadangan penggubalan Akta Keharmonian Nasional, yang bersifat memupuk, tidak menghukum dan mendidik bagi menggalakkan serta mengetengahkan keharmonian, masih di peringkat perbincangan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup.

Beliau memberitahu persidangan Dewan Negara hari ini kerajaan akan mempertimbang penggubalan akta itu jika ia masih difikirkan perlu dan sesuai selepas Akta Hasutan 1948 dikekalkan.

"Kerajaan tidak sama sekali tergesa-gesa memperkenalkan apa-apa undang-undang tanpa berbincang dengan setiap pihak berkepentingan untuk memastikan undang-undang itu sesuai dengan keadaan semasa dan tidak bertentangan dengan Perlembagaan negara," katanya.

Beliau menjawab soalan asal Senator Datuk S.Vigneswaran yang bertanya sama ada Malaysia akan mewujudkan Akta Rasisme atau Akta Anti Diskriminasi bagi menangani isu rasisme yang semakin meruncing pada sesi soal jawab persidangan itu di sini.

Akta Keharmonian Nasional dicadang untuk menggantikan Akta Hasutan 1948, namun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengumumkan bahawa Akta Hasutan dikekalkan dan diperkukuhkan bagi melindungi ketenteraman negara.

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sesi penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2014 pula berkata kerajaan perlu mempertimbang semula cadangan menggubal Akta Keharmonian Nasional setelah perdana menteri mengumum mengekalkan Akta Hasutan 1948.

Joseph berkata kerajaan tidak bercadang mewujudkan Akta Rasisme dan Akta Anti Diskriminasi kerana Akta Hasutan 1948 dilihat mampu menangani isu-isu berkaitan rasisme dan sebagainya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata Rancangan Dasar Pembangunan Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP) akan memfokuskan kepada lima perkara berdasarkan kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata fokus berkenaan adalah hak sivil dan berpolitik; hak ekonomi, sosial dan kebudayaan; golongan rentan; hak orang asli, bumiputera Sabah dan Sarawak; serta kewajipan antarabangsa.

Menurutnya fokus lebih spesifik itu akan membantu kerajaan menangani pelbagai isu hak asasi terutama membabitkan kes fahaman songsang seperti liberalisme dan sekularisme yang semakin menular di negara ini.

"Semua perkara termasuk dalam kerangka pelan tindakan NHRAP, mengenai apa yang berlaku sekarang (fahaman songsang). Kita sedar apa yang berlaku di luar jangkaan penerimaan kita dan berharap pendekatan akan diambil melalui fokus yang dirancang," katanya.

Shahidan menjawab soalan Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengenai pendekatan kerajaan untuk menangani kefahaman songsang hak asasi manusia sehingga tercetusnya ideologi asing seperti liberalisme dan sekularisme.

NHRAP dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukri dan dianggotai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta anggota jawatankuasa bagi hal ehwal agama Islam Malaysia.

Ia bertujuan untuk mengendalikan isu-isu hak asasi manusia.

Akta Keharmonian Nasional

Artikel Lain