JITRA: Dua penuntut wanita Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (Polimas) di sini maut setelah kereta yang mereka naiki terbabas ke dalam parit di Jalan Tok Jalai dekat sini, Khamis. Dalam kejadian kira-kira 5 petang di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Anum Tunku Abdul Rahman (SMKTATAR), Naemah Kamal, 19, dari Padang Serai dan Noor Shuhada Abdul Kadir, 19, dari Alor Setar, maut di tempat kejadian. Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Abd Rahim Abdullah berkata, kejadian berlaku apabila kereta yang dinaiki mereka bersama-sama tiga rakan hilang kawalan lalu terlanggar sebuah motosikal di hadapan. Beliau berkata kereta itu, yang mungkin dipandu laju, terbabas ke dalam longkang sebelah kiri jalan. "Dua penumpang kereta tercampak keluar dari kenderaan itu dan seorang daripadanya jatuh ke dalam saliran air. Mereka meninggal dunia di tempat kejadian," katanya di sini, Khamis. Mayat Naemah dan Noor Shuhada mangsa dibawa ke Hospital Jitra untuk bedah siasat. Abd Rahim berkata, pemandu kereta berkenaan dan dua lagi penumpang serta penunggang motosikal cedera dan dirawat di Hospital Jitra. Difahamkan kedua-dua mangsa dan tiga rakan mereka baru pulang dari majlis perkahwinan di Alor Setar.