suria

Istiadat Pertabalan Sultan Perak Ke-35 Pada 6 Mei Tahun Depan

Sultan Nazrin Shah
IPOH: Istiadat pertabalan Sultan Perak ke-35, Sultan Nazrin Shah akan berlangsung di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 6 Mei tahun depan.

Setiausaha Dewan Negara Perak Datuk Ayop Hashim berkata dengan nasihat Dewan Negara Perak yang bersidang pada 22 November lepas, Sultan Nazrin berkenan menetapkan
tarikh istiadat berkenaan.

Katanya istiadat Tabal Adat akan berlangsung di Istana lskandariah pada pagi 6 Mei diikuti Istiadat Tabal Pusaka dan Istiadat Bersiram Tabal yang akan berlangsung pada malam 7 Mei.

"Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan bersama Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri selanjutnya akan berangkat menziarahi makam-makam Sultan Perak terdahulu, kemudiannya menghilir Sungai Perak dari Pasir Salak sehingga ke Teluk Intan.

"Istiadat pertabalan akan berakhir dengan keberangkatan Sultan Nazrin Shah untuk mencecahkan kaki baginda di Beting Beras Basah, tempat pertama Paduka Seri Sultan Muzaffar Shah I (Marhum Tanah Abang 1528-1549), Sultan Perak yang pertama, menjejakkan kaki ketika mula sampai di bumi Perak," katanya dalam kenyataan Jumaat.

Beliau berkata sempena istiadat pertabalan itu, pelbagai acara dirancang yang turut melibatkan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Raja Pemerintah, Raja Muda dan Tengku Mahkota, Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, jemaah menteri, perwakilan asing serta tetamu dari dalam dan luar negara.

"Acara berbentuk keagamaan dan acara yang memberi peluang baginda mendampingi rakyat yang melibatkan penyertaan rakyat jelata, warga emas, golongan remaja dan pelajar akan dilaksanakan dalam tempoh sambutan istiadat pertabalan," katanya.

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia