suria

Jangan Pandang Ringan Aktiviti Ajaran Sesat - Sultan Selangor

KUALA SELANGOR: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan seluruh lapisan umat Islam di negeri itu, supaya sentiasa peka dan tidak memandang ringan kegiatan ajaran sesat kerana dikhuatiri akan memecah belahkan keharmonian sejagat.

Baginda bertitah jika semua pihak tidak bekerjasama memberikan maklumat mengenai penyebaran ajaran sesat, pengaruhnya yang bergerak secara kecil-kecilan pada mulanya dibimbangi mampu berkembang hingga sukar dibendung.

"Perkembangan ajaran sesat boleh mengelirukan serta memesongkan akidah umat Islam di negeri ini. Akibatnya, umat Islam akan berpecah belah, hidup dalam suasana persengketaan dan tidak dihormati oleh masyarakat lain," titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian sebelum merasmikan Masjid Ar-Ridhuan, Simpang Empat, Jeram di sini.

Baginda turut menegaskan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pula perlu memastikan penceramah dan tenaga pengajar berkenaan agama Islam mempunyai tauliah yang diiktiraf, selain mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan.

Titah baginda, Jais juga perlu mengawasi semua aktiviti yang dijalankan di masjid dan surau supaya penyebaran ajaran sesat dapat dipantau dan diambil tindakan serta merta, sebelum gejala itu semakin berleluasa.

"Beta ingin mengingatkan sekali lagi kepada pegawai dan anggota jawatankuasa masjid serta umat Islam di daerah ini, supaya sentiasa berwaspada terhadap mereka yang cuba mempengaruhi umat Islam untuk mengembangkan fahaman atau ajaran Islam yang sesat seperti difatwakan Jabatan Mufti dan Jais.

Laporan atau aduan bolehlah dikemukakan kepada pegawai dan anggota jawatankuasa masjid untuk dikemukakan kepada Jais atau berurusan terus dengan Jais," titah baginda.

Sultan Selangor turut menyeru umat Islam di negeri itu supaya menggunakan masjid dan surau sebagai tempat kondusif untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara masyarakat.

Sultan Selangor

Artikel Lain