KAJANG: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pangkat dan gelaran tidak penting bagi beliau, katanya merujuk kepada tindakan Istana Selangor menarik balik darjah kebesaran yang dikurniakan kepadanya sebelum ini. Bercakap kepada sekumpulan penganut Katolik di Gereja Holy Family di sini, Anwar berkata Tuhan tidak pernah melihat pangkat dan kedudukan yang dimiliki oleh seseorang individu. "Tuhan tidak pernah melihat apa gelaran yang kita ada. Tuhan juga tidak melihat apakah pangkat atau jawatan kita pegang, sebaliknya Dia melihat kepada perbuatan baik yang kita lakukan atas nama Tuhan," katanya. Anwar turut memberikan contoh seorang pemerintah Mesir kuno yang cukup berpengaruh, iaitu Firaun yang memiliki kuasa, kekayaan dan pangkat namun Tuhan membencinya kerana sikapnya yang tamak dan tidak percaya kewujudan tuhan. "Apa yang Tuhan lihat ialah perbuatan baik yang kita lakukan sesama insan, tanpa mengira warna kulit, agama mahupun kepercayaan," katanya. Pada Khamis, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menarik balik gelaran 'Datuk Seri' yang dikurniakan kepada Anwar sejak tahun 1992. Pihak istana memaklumkan penarikan balik darjah kebesaran itu dibuat kerana Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat telah mempersoalkan integriti Sultan Selangor dan institusi diraja ketika krisis Menteri Besar di negeri itu. Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau tidak pernah meminta gelaran tersebut, sebaliknya beliau sangat berterima kasih kepada Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang mengurniakan gelaran tersebut kepadanya.