"Kalau sebut tentang kekangan, adalah persepsi yang mana kalau isu rasuah dipolitikkan akan timbulkan persepsi negatif, sebab kalau dari segi fakta kita akan memperlihatkan ketelusan kita.
Kalau persepsi berterusan dan persepsi negatif dilemparkan terutama terhadap agensi yang berusaha bersungguh-sungguh untuk memerangi rasuah, ini akan menjejaskan usaha baik yang dilaksanakan," katanya kepada pemberita selepas Forum Sempena Hari Anti Rasuah Sedunia 'Merakyatkan Pencegahan Rasuah: Penilaian Peranan Kita' di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan turut di hadiri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Ditanya mengenai terdapat tanggapan bahawa SPRM hanya mengenakan tindakan terhadap golongan bawahan sahaja, Mustafar berkata pihaknya mengambil tindakan terhadap semua pihak tidak kira besar atau kecil.
"SPRM tak kira siapa dan tak pilih bulu, ikan bilis atau ikan jerung asalkan nama 'ikan' kita ambil tindakan dan kita tak pilih warna, apa juga warna kita ambil tindakan, itu jelas," katanya.
Mustafar berkata masyarakat tidak perlu takut untuk menyalurkan maklumat kerana pihaknya memberi jaminan keselamatan dan perlindungan terhadap pemberi maklumat.
"Saya tekankan kita ada perlindungan terhadap pemberi maklumat dan identiti mereka dirahsiakan, jadi tak perlu jadi ketakutan kepada mereka dan kita akan ambil tindakan dengan cara SPRM yang bebas dan telus," katanya.