suria

Enam Sekeluarga Hilang Kediaman Dalam Kebakaran

SIK: Enam sekeluarga dari Kampung Namek dekat sini tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran awal pagi Isnin.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian 3 pagi itu kerana semua penghuni tiada di rumah ketika kejadian.

Rumah itu milik pasangan Masnawi Ahmad, 41, dan isterinya Rashidah Mustafa, 37, yang mempunyai empat anak berusia satu hingga 14 tahun. Ketika kejadian keluarga itu berada di rumah seorang saudara mereka di Kampung Bukit Selambau, Sungai Petani.

Masnawi yang bekerja kampung berkata jiran dan saudara mara yang tinggal berhampiran rumahnya berusaha memadamkan kebakaran tetapi gagal, menyebabkan tiada sebarang peralatan yang dapat diselamatkan kerana api terlalu marak.

Katanya dia pulang ke rumah pukul 4 pagi bersama keluarganya setelah dihubungi jiran dan mendapati rumah dan sebuah motosikal miliknya musnah.

"Saya menerimanya sebagai takdir dan berharap ada bantuan daripada mana-mana pihak untuk membina semula rumah yang musnah akibat kebakaran ini," katanya.

Masnawi bersama keluarganya kini terpaksa menumpang di rumah seorang saudara berdekatan rumahnya yang musnah terbakar.

Sementara itu, Anggota Parlimen Sik Dr Mansor Abd Rahman hari ini melawat mangsa kebakaran dan menghulurkan bantuan segera bagi meringankan beban mereka.

"Saya akan berbincang dengan beberapa pihak bagi membantu keluarga ini mendapatkan sebuah rumah untuk mereka meneruskan kehidupan termasuk daripada projek Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah program zakat TNB," katanya.

Sementara itu, Sukarelawan 1Malaysia Daerah Sik akan membantu membersihkan kawasan rumah yang terbakar untuk dibina semula setelah ada bantuan oleh mana-mana pihak.

Pengerusinya Mahadzir Abd Hamid berkata anggota Sukarelawan 1Malaysia Daerah Sik sedia membantu membersihkan sisa kebakaran itu dalam masa terdekat.


Kebakaran, Sik

Artikel Lain