suria

Warga Filipina Tembak Mati Rakan Senegara

ACP Kamal (tiga, kiri) bertanyakan sesuatu kepada pekerja-pekerja ladang.
SIBU: Seorang warga Filipina telah ditembak mati dengan kejam oleh rakan senegaranya di hadapan kuarters pekerja sebuah ladang kelapa sawit, 60 km dari sini akibat pertengkaran.

Ketua kampung, Tuai Rumah Digat Kasi, 45 memberitahu pemberita di tempat kejadian pada Isnin bahawa dalam kejadian pukul 7 pagi itu, mangsa, yang hanya dikenali sebagai Anil, 36, telah memanggil suspek untuk pergi perumahan pekerjanya bagi menyelesaikan perkara berkaitan kerja mereka.

Suspek tinggal di kuarters lain yang terletak kira-kira 100m dari  tempat kejadian.

Selepas melepaskan tembakan, suspek melarikan diri dari kawasan itu.

"Suspek yang bersenjatakan pisau dan pistol buatan sendiri meluru ke bahagian hadapan kuarters mangsa.

"Tiba-tiba ada bunyi tembakan dan mangsa rebah," katanya.

Digat, yang tanahnya dipajak kepada syarikat untuk menanam kelapa sawit berkata dia sedang berada di rumah panjangnya yang terletak agak jauh dari ladang kelapa sawit itu.

Dia segera bergegas ke tempat kejadian apabila diberitahu mengenai perkara itu oleh seseorang.

"Mangsa adalah seorang lelaki yang baik. Saya kenal rapat dengannya sebab saya selalu datang ke sini.

"Sebelum ini dia telah bekerja di Sabah selama 10 tahun dan boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik.

"Dia telah bekerja di sini selama lebih kurang tiga tahun," katanya.

Digat berkata mangsa bekerja sebagai mekanik manakala suspek adalah pemandu di ladang itu.

Anil meninggalkan tiga anak, dua lelaki dan seorang perempuan.

Sepasukan polis yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah, ACP Mohd Kamal Kordi dan pegawai penyiasat kanan, DSP Yeoh Chun Shyan telah pergi ke tempat kejadian.

Polis sedang menyiasat kes itu sebagai pembunuhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
warga Filipina, Anil

Artikel Lain