suria

Kes Bunuh Di Relau Dipercayai Ada Kaitan Rakyat Myanmar - Polis

Anggota polis memeriksa kejadian di mana seorang lelaki, dipercayai rakyat asing ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di hadapan sebuah tokong di Taman Metropolitan, Relau di sini, Isnin.

BUTTERWORTH: Polis percaya kes bunuh di hadapan sebuah tokong di Taman Metropolitan, Relau dekat sini, Isnin dilakukan oleh kumpulan rakyat Myanmar yang sama dalam beberapa kes bunuh melibatkan rakyat negara itu di negeri ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, ia berdasarkan modus operandi dan kesan kecederaan yang dialami mangsa sama seperti kes-kes bunuh membabitkan rakyat Myanmar sebelum ini.

"Berdasarkan siasatan awal, kami tidak menolak kemungkinan kes bunuh awal pagi ini di Relau itu mempunyai kaitan dengan beberapa kes bunuh membabitkan warga Myanmar.

"Suspek dipercayai warga Myanmar dan mangsa juga rakan senegaranya. Motif kejadian dipercayai dendam yang dibawa dari negara mereka, bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan," katanya kepada pemberita selepas Pertandingan Boling Polis Diraja Malaysia (PDRM) Piala Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim', di sini, Isnin.

Abdul Rahim berkata, usaha mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian itu giat dijalankan dan menurutnya mungkin polis boleh mendapatkan maklumat daripada warga Myanmar yang ditahan sebelum ini.

Sejak awal tahun ini, 18 kes pembunuhan rakyat Myanmar dilapor di Pulau Pinang dan pada peringkat awal, mayat dibungkus dengan kain putih seperti dikafan dan ditinggalkan di tepi-tepi jalan. Bagaimanapun sejak bulan lepas kumpulan terbabit mula memotong anggota badan mangsa.

bunuh, Relau, Myanmar, Abdul Rahim Hanafi

Artikel Berikut

Artikel Lain