KUALA LUMPUR: Pengerusi National Feedlot Corporation Sdn.Bhd. (NFCorp), Datuk Seri Dr Mohammad Salleh Ismail hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa Public Bank Berhad hanya berdiam diri apabila beliau difitnah oleh Setiausaha Agung PKR, Mohd Rafizi Ramli, walaupun mereka sedar bahawa dakwaan itu adalah tidak benar. Mohammad Salleh berkata tiada sebarang pinjaman dibuat dengan Public Bank untuk hartanah KL Eco City, seperti didakwa Rafizi bahawa lapan pinjaman dibuat untuk membiayai pembelian lapan unit pejabat di KL Eco City dengan memanfaatkan deposit pinjaman kerajaan disimpan di bank tersebut. Beliau berkata Rafizi juga mendakwa bahawa beliau tidak mempunyai keupayaan kewangan untuk layak mendapat lapan pinjaman dan oleh itu, mencadangkan saya memanfaatkan deposit pinjaman kerajaan. "Rafizi telah mendakwa bahawa saya menghadapi kesukaran untuk membayar ansuran pinjaman untuk setahun dari Mac 2011, (bahawa) saya mungkin akan gagal melunaskan pinjaman dan meletakkan deposit pinjaman kerajaan dalam risiko. "Saya ingin menyatakan bahawa tidak pernah sebarang pinjaman dibuat dengan Public Bank untuk hartanah KL Eco City. Rafizi telah menggunakan dokumen defendan (Public Bank) untuk menfitnah saya, keluarga saya dan perniagaan saya. "Public Bank tidak mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan bahawa tiada pinjaminan dibuat daripada mereka untuk lapan unit pejabat KL Eco City, mahupun menjelaskan tiada sebarang pinjaman adalah dalam bahaya. Mereka terus senyap mengenai dakwaan palsu yang direka oleh pembangkang sehingga ke hari ini," katanya semasa pemeriksaan utama oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah. Mohamad Salleh berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk John Louis O'hara terhadap permohonannya dan syarikat berkaitan dengannya terhadap Publick Bank. Pada 22 Mei 2012, Mohamad Salleh, , NFCorp, National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan Real Food Company Sdn Bhd telah memfailkan saman terhadap bank itu. Beliau menuntut kerugian yang dialami sehingga menjejaskan kredibiliti dan reputasi syarikat itu dalam perniagaan berikutan bank tersebut didakwa telah melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 (Bafia). Beliau menuntut RM60 juta untuk ganti rugi am, RM250 juta sebagai ganti rugi teladan dan RM250 juta sebagai ganti rugi teruk. "Kemudahan pinjaman kerajaan untuk operasi perniagaan kami disita oleh pihak berkuasa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001. Pelaburan dan perniagaan saya di Singapura juga terjejas dan musnah apabila kemudahan perbankan lain ditarik balik. Tanpa kemudahan perbankan, operasi makanan dan minuman serta penyewaan kami terpaksa dihentikan. "Berkaitan dengan keluarga saya, cemuhan orang ramai hasil daripada pendedahan ini menyebabkan isteri saya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dilabel sebagai 'Menteri Lembu". Isteri saya kemudian kehilangan kerja sebagai menteri pada 10 Mac 2012," katanya. Mohamad Salleh berkata kesemua plaintif diabaikan dan dibiarkan menderita hasil daripada kekurangan tahap keselamatan, perlindungan, tidak bertindak, mitigasi dan keazaman pihak defendan. Pada prosiding itu, beliau juga memberitahu mahkamah bahawa beliau terkejut apabila lima petugas bank komersial itu mempunyai akses kepada bank akaun sulitnya termasuk kerani bank itu, Johari Mohamad. Katanya beliau telah membuat penemuan itu selepas siasatan oleh pengarah IT di Public Bank mendedahkan tiga pegawai Bahagian Perkhidmatan Kad dan Sokongan (cawangan Labuan) dan Pengurusan Deposit dan Saluran di ibu pejabat bank itu telah merisik akaunnya. "Satu lagi adalah dari ibu pejabat iaitu sistem kerangka utama bank yang tidak dapat mengenal pasti. Cawangan-cawangan ini, jabatan dan bahagian tiada kaitan kepada plaintif yang mempunyai akaun mereka di cawangan Jalan Hang Lekiu. "Kebocoran dan penerbitan telah menimbulkan kemarahan orang awam dan telah mencemaskan pihak berkuasa. Lima hari kemudian, saya didakwa dan dua hari selepas itu, pihak berkuasa merampas aset syarikat-syarikat di bawah AMLA dan diletakkan dengan Public Bank. "Impak daripada kebocoran maklumat, sidang media, laporan berita, dakwaan dan rampasan aset juga dilaporkan di lebih 110 organisasi media," katanya. Perbicaraan bersambung 13 Mac tahun depan.