"Kita tiada cadangan atau usaha melakukan extradisi setakat ini walaupun ada perjanjian extradisi dengan negara berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Penolong Setiausaha Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat, Alan Bersin, di pejabatnya di sini Selasa.
Ahmad Zahid bagaimanapun yakin Tan dan Ali yang kini berada di luar negara untuk mendapatkan perlindungan politik akan pulang ke tanah air suatu hari nanti.
"Sejauh-jauh bangau terbang, akan balik ke belakang kerbau," katanya.
"Mereka adalah anak kelahiran Malaysia. Tiada pasport sudah cukup menyeksa," katanya.
Pada Isnin, Jabatan Imigresen Malaysia mengumumkan bahawa pasport Malaysia Antarabangsa Tan dan Ali ditarik balik berkuat kuasa serta-merta.
Tan atau nama sebenarnya Tan Jye Yee melarikan diri ke Amerika Syarikat bagi mendapatkan perlindungan politik dan mengelak daripada ditahan pihak berkuasa di Malaysia atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan.
Ali pula melarikan diri ke Sweden bagi mendapatkan perlindungan politik. Ali berdepan tuduhan menghasut kerana menghina institusi Raja di negara ini melalui laman Facebooknya.