KUALA LUMPUR: Kejayaan Malaysia merangkul Anugerah Destinasi Golf Terbaik Asia pada Anugerah Golf Dunia di Portugal baru-baru ini merupakan kejayaan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. Katanya, di bawah inisiatif projek permulaan 9-B (EPP 9-B) NKEA, sukan golf merupakan aktiviti tumpuan bagi pertumbuhan pelancongan berkualiti pada masa depan. "Kemenangan ini memberi motivasi kepada kami untuk memperkukuh usaha mempromosi Malaysia sebagai destinasi golf popular sepanjang tahun," katanya yang dipetik berkata demikian dalam kenyataan oleh Persatuan Pelancongan Golf Malaysia (MGTA), di sini, Selasa. Sementara itu, Presiden MGTA Ng Eu Shen berkata, padang golf yang baru dibuka di Langkawi, The Els Club Teluk Datai merangkul Anugerah Padang Golf Baharu Terbaik Asia dan Padang Golf Baharu Terbaik Dunia pada majlis berkenaan. "Semua kejayaan ini mencerminkan persepsi keseluruhan bahawa Malaysia mempunyai nilai untuk setiap ringgit yang dibelanjakan dari segi penginapan, penerbangan dan pelbagai produk pelancongan lain," katanya. MGTA ditubuhkan di bawah EPP 9-B khusus untuk mempromosi pelancongan golf Malaysia dan dibiayai oleh Tourism Malaysia. Persatuan itu menyasarkan resit pelancongan golf tahun ini bernilai RM310 juta berbanding RM300 juta tahun lalu dan RM296 juta pada 2012.