KUALA LUMPUR: Pelantikan wanita menjadi ahli lembaga pengarah dibuat berasaskan pengalaman dan kebolehan mereka dan bukan untuk memenuhi kuota yang ditetapkan. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata: "Sebagai wanita, kami tidak mahu memegang jawatan itu untuk memenuhi kuota tetapi kerana layak dan berusaha untuk mendapatkannya." Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan program 'Konvensyen Pengarah Wanita 2014' di sini pada Selasa, beliau juga berharap cadangan mewujudkan Akta Pembangunan Wanita yang akan dibawa ke Kabinet pada awal 2015, dapat dilaksanakan pada penghujung 2016. "Kajian dan penyelidikan menyeluruh sedang dijalankan bagi memastikan ia boleh dilaksanakan di negara ini," katanya. Rohani berkata, akta yang dicadangkan itu selaras dengan Dasar Wanita Negara dan berhasrat menjamin pembangunan dan pengupayaan wanita dengan mengarusperdanakan kepentingan wanita. Konvensyen itu menghimpunkan pengerusi, lembaga pengarah, ahli perniagaan dan pemimpin kerajaan untuk membincangkan cara menyokong dan memperjuangkan agenda mewujudkan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita sebagai ahli lembaga pengarah dan pembuat dasar di negara ini. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.