JOHOR BAHARU: Polis Daerah Johor Baharu Utara (JBU) sedang mencari waris seorang lelaki bertatu yang dijumpai mati dekat loji kumbahan bersebelahan padang bola sepak, Taman Munsyi Ibrahim, Tampoi, pada 6 petang Isnin lalu. Pemangku Ketua Polis Daerah itu Supt Beh Eng Lai berkata mayat lelaki itu dijumpai dalam keadaan bogel dengan kedua kakinya terikat dan hanya ditutup dengan menggunakan cadar. Sehelai baju turut dijumpai berdekatan tempat itu. "Tiada pengenalan diri dijumpai pada mayat yang sudah mulai kembung dan berulat itu tetapi pada bahagian atas lengan kirinya ada terukir tatu 'ANBALAGANLOVES AMUTHAVALLI' manakala bahagian bawah lengan terukir 'MY WIFE AMUTHAVALLI'," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. Pada jarinya juga ada tatu 'BALA' dan 'LOVE'. Walaupun kaki mangsa yang dianggarkan berusia 40an itu terikat dengan tali, tiada kecederaan dikesan pada badannya. Beh menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah JBU di talian 07-5563122.