SHAH ALAM: Seramai lima individu yang dipercayai terbabit dalam insiden pergaduhan semasa perlawanan separuh akhir Piala AFF Suzuki di Stadium Shah Alam 7 Disember lalu tampil memberikan keterangan pada Selasa. Bagaimana pun mereka tidak ditahan dan dibebaskan selepas disoal siasat, jelas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah. Katanya,mereka datang membuat keterangan di Ibu Pejabat Daerah Shah Alam, sebaik sahaja wajah mereka bersama-sama dengan 15 individu lain disebarkan polis. Polis kini masih mencari 10 lagi individu yang terlibat dengan insiden pergaduhan dengan penyokong Vietnam di Stadium Shah Alam itu. "Kami akan menilai keterangan mereka sebelum mengambil tindakan selanjutnya. "Saya berharap baki individu yang terbabit tampil untuk membuat keterangan secepat mungkin," katanya. Beliau menggesa kepada orang ramai yang mengetahui mengenai suspek-suspek berkenaan agar melaporkannya di balai-balai yang terdekat atau menghubungi ASP Chang Sing Kong (016-7733336) atau ASP Mohd Amirul Abdullah (012-4748870).