suria

Biar Negara Tempat Alvin Tan Berada Ambil Tindakan - Wan Junaidi

SEREMBAN: Kerajaan tidak berhasrat membawa balik blogger kontroversi Alvin Tan, sebaliknya akan membiarkan negara tempat blogger itu berada mengambil tindakan undang-undang ekoran statusnya kini adalah pendatang haram, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata blogger itu kini adalah pendatang haram di negara beliau berada berikutan Jabatan Imigresen telah menarik balik pasport Malaysia Antarabangsa Tan berkuat kuasa 9 Disember lepas.

"Saya amat bersetuju dengan tindakan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) bahawa tidak payah buat proses (permohonan ekstradisi), biar dia jadi pendatang haram di tempat dia berada sekarang.

"Atas negara tersebutlah untuk mengambil tindakan kepada dia sebagai pendatang haram dan kalau negara tersebut memikirkan dia tidak layak diterima menjadi penghuni di negara tersebut, dia akan secara sendirinya minta kita bawa dia balik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Negeri Sembilan di sini, Khamis. Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.Isnin lepas, Jabatan Imigresen mengumumkan bahawa pasport Malaysia Antarabangsa Tan dan aktivis politik Ali Abdul Jalil ditarik balik berkuat kuasa serta-merta.

Tan atau nama sebenarnya Tan Jye Yee melarikan diri ke Amerika Syarikat bagi mendapatkan perlindungan politik dan mengelak daripada ditahan pihak berkuasa di Malaysia atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan termasuk di bawah Akta Hasutan kerana mempersendakan agama Islam dan bulan Ramadan serta mempersendakan institusi beraja melalui laman Facebooknya.

Ali pula melarikan diri ke Sweden bagi mendapatkan perlindungan politik. Ali berdepan tuduhan menghasut kerana menghina institusi Raja di negara ini melalui laman Facebooknya.

Sementara itu, Mohamad berkata majlis hari ini menyaksikan seramai 300 penerima pingat yang telah berjasa kepada negara semasa zaman prakemerdekaan.

"Di negeri ini, ada lebih kurang 8,000 orang bakal menerima pingat dan kita akan buat secara berperingkat," katanya.


Artikel Lain