KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor serta tujuh lagi pada Khamis berjaya membatalkan saman yang difailkan balu dan keluarga penyiasat persendirian P. Balasubramaniam. Pada Jun lepas, balu Balasubramaniam, A.Santamil Selvi dan anak-anaknya iaitu B.Kishen, B. Menaga dan B.Reeshi memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Sivil dengan menamakan dua adik Perdana Menteri iaitu Datuk Ahmad Johari dan Datuk Mohd Nazim sebagai defendan. Turut dinamakan sebagai defendan ialah peguam kanan Tan Sri Cecil Wilbert Mohanaraj Abraham dan anaknya, Sunil Abraham, pesuruhjaya sumpah Zainal Abidin Muhayat, ahli perniagaan Deepak Jaikishan dan peguam M. Arunapalam. Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hasnah Mohammed Hashim ketika membenarkan permohonan Najib, Rosmah dan tujuh lagi defendan itu berkata, kesemua ahli keluarga Balasubramaniam tidak mempunyai hak di sisi undang-undang untuk memfailkan saman itu kerana mereka tidak mempunyai surat kuasa yang dikeluarkan oleh mana-mana mahkamah untuk berbuat demikian (memfailkan saman). Beliau berkata, plaintif juga gagal menyatakan secara terperinci apa, bila, bagaimana dan di mana perjanjian konspirasi kesemua defendan yang didakwa mendatangkan mudarat ke atas Balasubramaniam dan ahli keluarganya. Hakim Hasnah berkata, plaintif sepatutnya memfailkan saman itu antara 2008 hingga 2013 semasa konspirasi itu didakwa berlaku dan sebelum Balasubramaniam meninggal dunia, tetapi mereka memfailkannya Jun lepas. Mahkamah juga memutuskan tiada keadaan istimewa bagi membolehkan mahkamah membenarkan merit saman itu untuk didengar pada perbicaraan penuh kerana plaintif tiada hak memfailkan saman itu. Oleh itu katanya, mahkamah membenarkan permohonan defendan-defendan untuk membatalkan saman itu. Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib dan isteri, dan beberapa peguam lain yang mewakili defendan lain dan peguam Americk Singh Sidhu yang mewakili Santamil Selvi dan anak-anaknya pada 20 November lepas. Mahkamah menetapkan Khamis untuk membuat keputusan. Mahkamah memerintahkan plaintif membayar kos RM2,000 kepada kesemua defendan kecuali tiga defendan Ahmad Johari, Cecil Abraham dan Sunil Abraham kerana ketiga-tiga mereka tidak memohon sebarang kos daripada mahkamah. Dalam pernyataan tuntutan, Santamil Selvi dan anak-anaknya berkata mereka meninggalkan negara ini selama tempoh 56 bulan dari 4 Julai 2008 sehingga Balasubramaniam meninggal dunia pada 15 Mac 2013. Wanita itu mendakwa suaminya telah dipaksa untuk menarik balik akuan bersumpah pertama yang diikrar Balasubramaniam pada 1 Julai 2008 mengenai fakta-fakta tertentu dalam kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaaribu. Plaintif mendakwa suaminya yang dilantik sebagai penyiasat persendirian oleh bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda yang merupakan salah seorang tertuduh yang didakwa dalam kes bunuh Altantuya, berkata akuan bersumpah itu dikeluarkan dalam satu sidang akhbar pada 3 Julai 2008. Mereka menuntut ganti rugi sebanyak RM840,000 termasuk sewa pangsapuri di Chennai, India, yuran persekolahan anak-anaknya dan kehilangan pendapatannya sebagai guru tadika, pinjaman perumahan, kos pengangkutan, ganti rugi am, ganti rugi khas dan kos. Americk ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan pada Khamis.