suria

Mangsa Culik Abu Sayyaf Bebas Selepas 177 Hari Dikurung

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah SAC Salehudin Abdul Rahman (kiri) bersama Sai Chuin dan isterinya Pek Nyen. Turut bersama mereka Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Zabidi Zain (kanan).
KOTA KINABALU: "Terima kasih, terima kasih, terima kasih."

Itulah kata-kata pertama yang diucapkan oleh Chan Sai Chuin, 32,  yang bersyukur dan lega apabila dia dibebaskan oleh kumpulan pengganas Abu Sayyaf selepas 177 hari berada dalam kurungan di pulau Jolo Selatan Filipina.

Mengucapkan terima kasih tidak terhingga dan memeluk pasukan perunding Malaysia dan Filipina yang membawa dia pulang dengan selamat ke Sandakan di pantai timur Sabah dengan bot laju pada pukul 6.45 pagi Rabu, Sai Chuin juga berkata kepada mereka: "Saya telah hilang banyak berat badan ... baik juga."

Pembiak baka ikan itu dilaporkan kelihatan sihat oleh sumber-sumber walaupun terpaksa menderita dalam tahanan sejak dia diculik di Kampung Sapong, Kunak pada 16 Jun.

Difahamkan Sai Chuin dibebaskan kira-kira pukul 11.30 malam Selasa, berikutan rundingan yang panjang antara utusan Filipina dan kumpulan Abu Sayyaf yang diketuai oleh Sadawan bersaudara di Jolo.

Tiada pengesahan dapat dibuat sama ada wang tebusan RM3 juta itu telah sampai ke tangan kumpulan lelaki bersenjata atau sebaliknya.

Menurut sumber, rundingan untuk pembebasan anggota polis marin Konstabel Zakiah Aleip, 26, juga sedang dijalankan.

Zakiah sedang berada dalam tahanan kumpulan Abu Sayyaf yang diketuai oleh Al Habsi yang juga telah menuntut wang tebusan RM3 juta. Dia telah diculik dari pulau Mabul pada 12 Julai.

Rundingan terhalang kira-kira 10 hari lalu dan hampir membawa kepada pertempuran berdarah, menggagalkan usaha untuk membebaskannya bersama-sama dengan Sai Chuin.


Apabila diberitahu oleh The Star mengenai pembebasan Sai Chuin pada pagi Rabu, isterinya Chin Pek Nyen, 42, berkata: "Ramai orang telah menghubungi saya. Saya masih belum bersama dengannya. Jika saya di sini bersama dengannya, saya akan memeluk dia."

Bagaimanapun, sumber berkata Pek Nyen berada di Sandakan pada hari yang sama dan bersatu semula dengan suaminya di sebuah hotel di bandar itu.

Bulan lepas, memandangkan tarikh akhir untuk membayar wang tebusan hampir tiba dan ancaman memotong kepala Sai Chuin dilakukan oleh penculik, Pek Nyen yang terburu-buru merayu bantuan orang awam untuk mendapatkan pembebasan suaminya, termasuklah membuat lawatan ke Parlimen dan mengadakan pertemuan dengan ahli perniagaan dan penderma berpotensi di Kuala Lumpur.

Sai Chuin yang dilahirkan di Ipoh, telah menjalani pemeriksaan perubatan.

Dia dijangka akan kembali ke sangkar ikan yang dimulakan dengan beberapa rakan-rakan tidak sampai tiga bulan sebelum dia diculik.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen mengenai pembebasan itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain