suria

Kimma Peruntuk RM240,000 Bantuan Persekolahan

GEORGE TOWN: Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) memperuntukkan dana bantuan persekolahan berjumlah RM240,000 kepada masyarakat India Muslim kurang berkemampuan seluruh negara tahun ini.

Presidennya Datuk Seri Syed Ibrahim Kader berkata 70 peratus penerima bantuan adalah muka baharu supaya setiap murid atau pelajar kurang bernasib baik tidak ketinggalan merasai pemberian bantuan berupa wang tunai RM100.

"Kami tidak memilih bulu, pelajar cemerlang atau kurang cemerlang semuanya dibantu agar setiap orang mendapat pendidikan sempurna," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan itu kepada 90 penerima di sini Sabtu.

Beliau berkata kesemua bantuan dijangka dapat diagihkan sebelum akhir tahun ini.
Katanya Kimma melalui Yayasan Kemajuan Islam Nasional turut menyediakan pelbagai bantuan termasuk pembayaran yuran sekolah dan institusi pengajian tinggi, kelas bimbingan dan perkhidmatan bas sekolah.

Justeru itu, Syed Ibrahim menggesa kesemua anggota Kimma mengemas kini keahlian supaya mereka dapat terus menikmati kemudahan yang disediakan selaras dengan penggunaan kad keahlian pintar mulai Februari depan.

Katanya kad keahlian yang digunakan sekarang akan luput pada 31 Januari depan dan boleh diperbaharui di mana-mana cawangan pejabat Kimma di seluruh negara.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain