suria

Warga Myanmar Di Pulau Pinang Kurangkan Aktiviti Malam

BUKIT MERTAJAM: Warga Myanmar yang menetap dan bekerjadi Pulau Pinang mengakui mula mengurangkan aktiviti malam kerana bimbang dengan keselamatan berikutan beberapa kejadian bunuh yang membabitkan rakan senegara baru-baru ini.   

Zaw Nai Lee , 32, berkata aktiviti malam beliau dan rakan-rakan senegaranya yang lain dihadkan dan mereka hanya berada di rumah selepas tamat bekerja.

"Sebelum ini kami selalu berjumpa dengan rakan-rakan di kedai dan minum atau bersembang, bagaimanapun selepas beberapa kejadian bunuh itu kami tidak berani pergi ke mana-mana lagi bila malam.   

"Lepas kerja kami balik rumah terus, saya ada tengok berita yang disiarkan dalam televisyen dan selalu dengar warga Myanmar dibunuh," katanya kepada Bernama, pada Ahad.

Kes pembunuhan melibatkan rakyat negara itu yang polis percaya dilakukan kumpulan warganegara Myanmar mendapat perhatian apabila anggota badan mangsa dipotong dan dibuang di beberapa tempat di Nibong Tebal dan Bukit Mertajam termasuk berhampiran balai polis Machang Bubok, dekat sini.

Sejak awal tahun ini, 18 kes pembunuhan rakyat Myanmar dilapor di Pulau Pinang dan pada peringkat awal mayat dibungkus dengan kain putih seperti dikafan dan ditinggalkan di tepi-tepi jalan.

Bagaimanapun sejak bulan lepas, kumpulan terbabit mula memotong anggota badan mangsa.   

Seorang lagi pekerja warga Myanmar, Kwan Yuu Thuu), 29, berkata beliau gembira bekerja di sini, bagaimanapun beberapa kejadian bunuh membabitkan rakan senegaranya adalah sesuatu perkembangan yang membimbangkan.   

Beliau berharap rakan senegaranya tidak menimbulkan masalah atau melanggar undang-undang negara ini kerana ia akan menyusahkan banyak pihak termasuk warga Myanmar.   

"Jangan timbulkan masalah, kita (warga Myanmar) semua datang sini untuk bekerja dan cari duit. Bila jadi macam ini (kes bunuh) orang di sini mula pandang serong pada kami kerana warga Myanmar.

"Sekarang ini kalau hendak keluar pun tidak jadi dan tidak berani kerana susah hati serta bimbang," katanya.

Sementara itu, seorang pemilik agensi pelancongan di negeri ini, Bo Mya Winyang juga warga Myanmar berkata perniagaannya turut terjejas ekoran kejadian pembunuhan itu.

Beliau yang tinggal di Pulau Pinang sejak 10 tahun lepas berkata kemasukan rakyat Myanmar ke Pulau Pinang untuk melancong terutama pada hujung tahun ini juga merosot.   

"Dulu bila bulan Disember hingga Januari, ramai orang Myanmar datang bercuti ke Malaysia terutama Pulau Pinang tetapi selepas dengar kes-kes bunuh itu mereka sudah takut untuk datang.   

"Sebelum ini lebih 1,000 pelancong dari Myanmar, sekarang ini hendak dapat 10 orang pun susah. Rakyat Malaysia pun sudah takut pergi sana (Myanmar) kerana ada kejadian bunuh juga," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain