suria

Pemandu Lantik Tiga Wanita Sertai Lembaga Pemegang Amanah

Zarinah Anwar antara tiga wanita dipilih untuk mengisi kerusi anggota Lembaga Pemegang Amanah.

KUALA LUMPUR: Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) melantik Tan Sri Zarinah Anwar, Datuk Yvonne Chia dan Vimala Menon sebagai anggota Lembaga Pemegang Amanah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu, Datuk Idris Jala berkata, kerajaan menerusi Program Transformasi Ekonomi komited memenuhi sasaran 30 peratus perwakilan wanita dalam jawatan pembuat dasar.

"Ini bukan sekadar memenuhi sasaran dasar, saya yakin pemimpin korporat ini akan mengukuhkan lagi unit tatkala kami memasuki era pertengahan dalam perjalanan transformasi negara selama 10 tahun ini," katanya dalam kenyataan, Isnin.

Idris juga berkata, tiga pemimpin korporat berprofil tinggi itu akan membawa bersama pengalaman dan pengetahuan mereka semasa meneraju organisasi lain, sekali gus menyumbang pengetahuan luar dan perspektif sektor swasta untuk terus memperkukuh inisiatif Pemandu.

"Saya menggesa lebih banyak syarikat di Malaysia untuk mengambil langkah sama.

"Keseimbangan gender dalam lembaga pengarah berupaya menghasilkan naluri perniagaan lebih baik memandangkan pembabitan wanita akan menambah dimensi bagi tadbir urus lebih teguh," katanya.

Zarinah yang ketika ini merupakan Pengerusi Malaysia Debt Ventures Bhd menyumbang luas dalam pembangunan pasaran modal Malaysia semasa mempengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Chia pula ahli perbankan terkenal antarabangsa yang berjaya meneraju kumpulan perbankan mendepani cabaran semasa perubahan dan pertumbuhan, sementara Vimala merupakan akauntan bertauliah yang memegang pelbagai jawatan dalam lembaga pengarah di dalam dan di luar negara.


Artikel Lain