KUALA LUMPUR: Majlis Profesor Negara (MPN) akan bekerjasama dengan Asosiasi Profesor Indonesia (API) untuk mencari strategi mengurangkan permasalahan pendatang asing tanpa izin (Pati) dari negara itu ke Malaysia. Timbalan Setiausaha Agung MPN, Prof Dr Kamaruddin Mohd Said berkata, perbincangan mengenai kerjasama itu akan dilakukan menerusi platform Ikatan Profesor Indonesia-Malaysia dalam masa terdekat. "Isu pendatang asing merupakan isu berkepentingan untuk kedua-dua negara kerana jumlah pekerja Indonesia di sini adalah tinggi. "Penting untuk ahli akademik berbincang mencari penyelesaian dan penyelesaian yang dipersetujui bersama boleh dikemukakan kepada agensi berkaitan untuk tindakan selanjutnya," katanya. Kamaruddin berkata demikian dalam sidang media sempena Persidangan Dilema Negara: Isu dan Cabaran Pekerja Asing di Malaysia anjuran MPN dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Institut Kajian Etnik UKM di sini, Isnin. Lebih 200 ahli akademik menghadiri persidangan dua hari itu dan MPN akan mengemukakan resolusi untuk mengatasi masalah kebanjiran Pati kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada majlis penutup persidangan, Selasa. Kamaruddin menambah antara fokus MPN pada perbicangan itu ialah mencari kaedah untuk memudahkan kemasukan pekerja asing seperti pembekalan tenaga kerja antara kerajaan dengan kerajaan (G2G). Beliau berkata, perkara itu adalah selari dengan cadangan yang diajukan Felo Kanan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas) UKM Prof Dr Azizah Kassim semasa ucap tama pada persidangan itu bahawa G2G dapat mengurangkan masalah kebanjiran Pati. "Kemasukan pekerja asing secara G2G melibatkan kos lebih murah berbanding kos dikenakan ejen atau agensi pembekal tenaga kerja menyebabkan pekerja asing mencari jalan lain, termasuklah cara tidak sah," katanya. Azizah turut mencadangkan supaya kerajaan menyediakan data lengkap mengenai kemasukan dan pelepasan warga asing serta data rakyat asing yang menetap di sini untuk jangka pendek dan panjang. Data itu penting untuk mengesan mereka yang tinggal lebih masa, memandangkan ia turut menyumbang kepada kebanjiran Pati, kata beliau. "Buat masa ini agak sukar untuk mendapatkan data lengkap kerana banyak agensi berkaitan penguatkuasaan ke atas pekerja asing mempunyai data mereka sendiri. "Jika data ini dapat diselaraskan, lebih mudah untuk kita mengesan pendatang asing tanpa izin yang tinggal lebih masa di sini," katanya. Azizah juga mencadangkan kewujudan Pusat Pengajian Migrasi Antarabangsa di salah sebuah universiti tempatan bagi menjalankan penyelidikan dan menghimpun penerbitan mengenai isu dan permasalahan migrasi di sini. Pusat itu, tambah beliau boleh menyediakan ruang untuk semua pihak berkepentingan membincangkan isu berkaitan kebanjiran Pati dan mencari penyelesaian permasalahan itu. "Pusat pengajian seperti ini telah diwujudkan di Thailand dan Filipina, tetapi di negara kita yang menjadi pusat tumpuan pekerja asing tidak ada," katanya.