PETALING JAYA: Polis menahan tujuh warga Indonesia, termasuk empat wanita, kerana didakwa terlibat dengan aktiviti militan. Menurut satu kenyataan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Isnin, kesemua suspek berusia antara 25 dan 35 tahun, ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman di Selangor pada 2 Disember lalu. "Mereka ditahan kerana didakwa terlibat dalam aktiviti militan dan menggunakan Malaysia sebagai transit sebelum menuju ke Syria. "Turut ditahan dalam operasi itu ialah lima kanak-kanak berusia antara lima bulan dan lima tahun. "Mereka merupakan anak-anak kepada tiga keluarga suspek yang berbeza," katanya. Khalid menambah, salah seorang suspek yang ditahan merupakan pemudah cara yang membuat perancangan untuk teman-teman militan warga Indonesia untuk pergi ke Syria. Pemudah cara itu dipercayai mempunyai kaitan dengan anggota kumpulan Abu Sayyaf, Umar Patek dan Al Qaeda di Asia. Kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini tanpa dokumen sah.