suria

USM Gagal Capai Status Universiti Apex

Kampus Kejuruteraan USm di Nibong Tebal.
NIBONG TEBAL: Walaupun mendapat geran beratus-ratus juta daripada kerajaan, Universiti Sains Malaysia (USM) tidak mampu untuk menghidupkan status Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (Apex).

Pusatnya penyelidikannya di sini yang sudah berusia tiga tahun, sebuah projek yang menelan belanja RM21 juta hampir tidak digunakan kerana kemudahan yang terhad.

Sebuah lagi pusat penyelidikan lain yang bernilai RM14 juta yang sepatutnya siap pada Ogos terhenti pembinaannya selama dua tahun dan hanya diambil alih oleh pemaju baharu pada akhir tahun lepas.

Masalah ini dan isu-isu lain telah memalukan universiti itu yang telah diberikan status Apex oleh Kabinet pada Ogos 2008, yang bermakna peningkatan pembiayaan untuk membantunya melakukan transformasi menjadi sebuah universiti bertaraf dunia yang pertama di negara ini.

Isu-isu yang timbul termasuklah kenaikan bayaran untuk penggunaan pusat penyelidikan oleh pelajar pasca siswazah, pengurangan drastik dalam program fellowship untuk pelajar pasca siswazah, penamatan kontrak pensyarah asing dan pemotongan dalam geran penyelidikan.

Bagi tahun fiskal 2009 hingga 2012, USM telah diberi geran RM314.5juta oleh kerajaan tetapi tidak mampu untuk memenuhi matlamat penubuhan Apex.

Mengulas mengenai isu ini USM mendakwa hanya menerima kurang dari separuh daripada pembiayaan yang diminta.

Bagaimanapun, ia tidak mendedahkan bagaimana baki geran dibelanjakan.

Pembinaan Pusat Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan USM (SERC) siap pada Disember 2011 dan mula beroperasi kira-kira setahun yang lalu.

Tetapi beberapa pelajar USM berkata mereka telah menggunakan pusat itu tetapi bukan untuk tujuan penyelidikan.

"Saya hanya pernah pergi ke makmal itu untuk menikmati penghawa dinginnya," kata seorang pelajar siswazah hanya mahu dikenali sebagai Chung, 29.

"Ia dipanggil pusat penyelidikan, tetapi ruangnya kosong dan tidak banyak kemudahan."

Katanya, hanya baru-baru ini sahaja beberapa peralatan telah dibawa masuk ke dalam makmal.

Seorang pelajar kejuruteraan aeroangkasa tahun akhir yang hanya mahu dikenali sebagai Afiq turut bersetuju dengan Chung.

Dia berkata ramai pelajar di universiti menganggap pusat penyelidikan yang lain turut ditinggalkan terbiar memandangkan SERC ditinggalkan tanpa disiapkan.

"Ini sepatutnya menjadi makmal penyelidikan berimpak tinggi tetapi (keadaan) bangunan seolah-olah tidak meyakinkan," kata Afiq.

Pelajar, katanya, telah membincangkan perkara itu di halaman Facebook kampus.

Tinjauan The Star menunjukkan bahawa pemaju pusat penyelidikan kedua tersebut sebelum ini tidak berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Ia juga telah mengosongkan pejabatnya di kampus dan masih berhutang empat bulan sewa ruang dengan universiti.

"Kami tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan USM lagi. Projek ini telah diturunkan daripada Kelas A ke kelas yang lebih rendah, " kata seorang wakil pemaju terdahulu kepada The Star.

(Projek-projek kelas A tidak mempunyai had kontrak manakala kontrak Kelas B mempunyai had kontrak bernilai antara RM5 juta dan RM10 juta.)

Pegawai kanan saintifik SERC Hariy Pauzi berkata pusat penyelidikan itu berfungsi sepenuhnya dan secara berterusan.

Beliau berkata, masa diperlukan untuk memulakan operasi disebabkan oleh perkara-perkara seperti pembiayaan dan proses perolehan.

Setelah hampir setahun memulakan operasi, beliau berkata, pusat itu mendapat kontrak, dengan yang lain dalam perancangan.

Beliau berkata, ia juga mempunyai sebuah mikroskop yang melampaui skala nano, satu-satunya di Asia Tenggara dan dua instrumen canngih lain, semua sekali bernilai kira-kira RM14 juta.

"Kami mula menjana pendapatan ... kira-kira beberapa ratus ribu ringgit pada tahun lepas, kami hanya perlu menunggu pembiayaan untuk membeli peralatan yang lebih," kata Hariy.

SECR mempunyai 32 makmal dan 15 kakitangan. Ia digunakan oleh pelajar pasca siswazah, yang membayarnya melalui geran penyelidikan, dan industri untuk menggunakan kemudahan yang ada.

Mengenai projek pusat penyelidikan kedua, dekan sekolah kejuruteraan awam Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata pemaju asal dipecat kerana firma itu tidak menyelesaikan tugas-tugasnya.

Katanya, beliau tidak tahu bahawa kontraktor itu tidak berdaftar dengan CIDB.

Seorang wakil USM, yang enggan dikenali menegaskan bahawa ia adalah satu projek Kelas A dan RM14 juta telah dibelanjakan untuk pembinaan setakat ini.

Walau bagaimanapun, The Star mendapati bahawa pemaju semasa hanyalah kontraktor Kelas B yang berdaftar dengan CIDB.

Apex, universiti Apex, USM

Artikel Lain