Sambil mendakwa dirinya dilantik menjadi duta syarikat berkenaan dikatakan disingkirkan daripada menyertai kumpulan untuk menunaikan umrah melalui aplikasi Whatsapp tanpa sebarang notis hingga menyebabkan dia sakit dan menanggung malu kerana tidak dapat menunaikan umrah seperti yang dijanjikan ustaz berkenaan.
"Saya memberi tempoh selama sebulan kepada ustaz berkenaan supaya dia sedar apa yang telah dia lakukan itu, memohon maaf dan menunaikan janji yang telah dimungkiri.
"Sekiranya beliau masih berdegil dan enggan berbuat demikian, saya tidak teragak-agak untuk mengemukakan saman malu terhadapnya dan mengheret beliau ke muka pengadilan," katanya yang kesal dengan tindakan ustaz tersebut yang boleh merosakkan nama tokoh agama yang lain.
Mengulas lanjut mengenai pelantikannya sebagai duta syarikat umrah milik ustaz berkenaan, Mohd Khairi yang juga Pengerusi Persatuan Kebajikan Darul Modahish berkata, dia dilantik menjadi duta agensi pelancongan tersebut pada 11 Oktober lalu di Masjid Al-Falah Kg Idaman, Pelabuhan Klang.
"Saya bersetuju untuk menjadi duta syarikat itu tanpa mendapat sebarang bayaran. Apa yang ustaz tersebut janjikan adalah membiayai pemergian saya ke tanah suci untuk menunaikan umrah secara percuma dengan syarat saya perlu mempromosikan pakej umrah berharga RM6,500 bagi syarikat berkenaan.
"Saya telah pun mengeluarkan lebih kurang RM1,000 untuk mempromosikan pakej umrah syarikat tersebut dengan membawa kain rentang dan flyers untuk tujuan promosi. Saya tidak sangka akhirnya, saya disingkirkan dengan cara begini, saya rasa dihina dan malu kerana ramai yang sudah tahu saya sepatutnya pergi menunaikan umrah pada ketika ini," katanya.
Lebih malang, kata Mohd Khairiri dia telah beberapa kali cuba menghubungi ustaz berkenaan untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai penyingkiran beliau sebagai duta syarikat tersebut, namun sehingga kini ustaz berkenaan tidak menjawab sebarang panggilan telefon atau membalas khidmat pesanan ringkas daripada beliau.
"Jangan dia ingat golongan seperti saya ini mudah ditipu," katanya.