suria

Hikmah Tersadai Di Jumum

Jemaah menikmati hidangan sarapan di ladang tamar yang diwakafkan kepada rakyat Malaysia.

ASSALAMUALAIKUM. Bagi yang bercuti selamat bercuti dan bagi mereka yang bakal menunaikan ibadat umrah, semoga segala urusan perjalanan dan ibadat dipermudahkan.

Bermula Disember bersamaan Safar, umat Islam mula membanjiri kota Makkah sehingga hujung Ramadan tahun hadapan.

Kesyukuran dipanjatkan kepada Ilahi jika terpilih sebagai tetamu-Nya. Justeru, setiap jemaah perlu bersabar atas setiap ketentuan, terutama ketika kaki sudah menjejak dua kota suci bagi umat Islam seantero dunia.

Pengalaman yang pernah dilalui ketika saya menunaikan umrah pada 2010 terus terpahat di sanubari. Banyak pengalaman manis dalam kunjungan pada tahun berkenaan kerana turut menyertai rombongan ketika itu ialah krew dari sebuah stesen televisyen yang membuat liputan penggambaran untuk rancangan berbentuk agama.

Sudah tentu saya mengharapkan segala-galanya berjalan lancar apatah lagi membabitkan seorang pendakwah wanita yang dikenali ramai. Segala persiapan liputan diatur rapi sejak di tanah air lagi. Seramai 45 jemaah bersama-sama dalam rombongan pada awal April 2010 dengan menaiki pesawat Gulf Air.

Tiba di Madinah, jemaah tampak ceria dan memberi kerjasama sepanjang liputan penggambaran termasuk bersarapan di sebuah ladang tamar yang diwakafkan kepada warga Malaysia, selain liputan di lokasi menarik seperti Bukit Magnet, Bukit Uhud dan Makam Syuhada’ Uhud, kilang mencetak al-Quran serta pasar kurma.

Tiba hari berangkat ke Makkah, semua jemaah lengkap berihram. Singgah sebentar di Masjid Bir ‘Ali untuk bersolat sunat ihram dan melafazkan niat. Setelah itu, semua jemaah menaiki bas semula untuk meneruskan perjalanan.

Terdahulu, mutawif Ustaz Ahyat, warga Indonesia mengetuai bacaan talbiah dan menasihatkan agar banyak berzikir dan membaca al-Quran mengikut kemampuan sepanjang perjalanan.

Beliau juga mengingatkan agar kami tidak bercakap perkara yang melekakan dan adalah lebih baik tidur jika keletihan kerana terpaksa mengharungi perjalanan kira-kira enam jam.

Jemaah berseloroh 

Setelah kira-kira dua jam perjalanan, terdengar suara segelintir jemaah lelaki di bahagian belakang bas rancak berbual perkara yang sia-sia dan berseloroh. Ada jemaah yang tidur dan tidak kurang juga berzikir.

Bas terus meluncur laju. Berhenti di kawasan rehat selama satu jam dan meneruskan kembali perjalanan yang berbaki kira-kira 200 kilometer (km) lagi.

Jemaah yang tadinya berseloroh terus berseloroh dan ada juga yang hanya berdiam sambil mulut terkumat-kamit memegang tasbih.

Pendakwah wanita itu tiba-tiba berbisik kepada saya dan meluahkan perasaan kurang enak kerana sikap segelintir jemaah lelaki yang begitu asyik bersembang. Saya hanya membisu dan fikiran melayang jauh.

Tidak lama selepas itu, ada jemaah di bahagian belakang kelihatan mengibas-ngibas kain ihram sambil berjala menuju ke hadapan bas dan mengadu kepada pemandu bahawa bas agak panas.

Beliau berjalan semula ke belakang dan mengatakan kepada jemaah lain bahawa bas panas dan tidak selesa. Begitu jemaah di bahagian hadapan bas yang mula resah kerana terasa panas. Hanya jemaah di bahagian tengah bas saja yang saya lihat tidur nyenyak.

Pemandu tidak peduli kekalutan yang dibangkitkan. Mungkin kerana tidak semua jemaah merungut perihal bas yang kian panas.

Namun, setelah dimaklumkan oleh Ustaz Ahyat dan jemaah berkeras kerana ketidakselesaan itu, pemandu bas terpaksa berhenti di sebuah tempat dinamakan Jumum.

Ustaz Ahyat mengarahkan semua jemaah turun dari bas kerana alat penghawa dingin tidak berfungsi dengan baik.

Di manakah Jumum? Terletak hanya kira-kira 15 km dari Masjidil Haram dan tidak begitu jauh dari Masjid Tana’im. Tidak pernah saya lalui pengalaman itu.

Mujur bas berhenti berhampiran stesen minyak dan Masjid Nawariah yang terletak berhampiran tanah perkuburan isteri Rasulullah S.A.W iaitu Maimunah.

Saya bertanya kepada Ustaz Ahyat berapa lama perlu tersadai di kawasan itu dan dia menganggarkan dua jam. Pemandu pula memaklumkan bahawa sebuah bas akan datang untuk membawa kami ke kota Makkah.

Hikmah tersadai

Sementara menunggu bas lain, saya mengajak jemaah wanita bersolat Maghrib dan Isyak di Masjid Nawariah. Sejurus memberi salam setelah solat, seorang jemaah wanita memaklumkan kepada saya bahawa bas sudah tiba.

Syukur  Alhamdulillah, hanya 45 minit dan bukan dua jam seperti dimaklumkan oleh pemandu sebelum itu. Saya bergegas ke tanah lapang yang menempatkan jemaah dan bas yang sedia menunggu. Agak kecil daripada bas yang dinaiki sebelum itu tetapi dalam hati saya, lebih baik ada daripada tiada.

Semua beg dipindahkan ke bas baharu. Saya dapat melihat jalinan kerjasama jemaah terutama lelaki.

Mereka bertungkus lumus dan tanpa sebarang rungutan memindahkan semua bagasi di dalam perut bas malah ada yang sanggup berdiri di dalam bas kerana kekurangan tempat duduk.

Mereka tetap tersenyum walaupun terpaksa berdiri kira-kira setengah jam untuk tiba di kota Makkah. Setelah urusan daftar masuk di hotel penginapan di Misfalah, kami menikmati makan malam dan tepat jam 12 malam semua berkumpul di lobi hotel untuk menyempurnakan rukun umrah.

Di bawah bimbingan Ustaz Ahyat, kami memulakan tawaf. Untuk kali pertama saya dapati semua jemaah tetap berkumpul. Kami bertawaf, bersaie dan bertahalul dalam satu kumpulan. Indahnya!

Kagum melihat penyatuan itu. Kami membaca doa tawaf bagi setiap pusingan dan saie bersama-sama. Umrah disempurnakan sebelum azan Subuh berkumandang. Selesai solat Subuh berjemaah di Masjidil Haram, kami pulang ke hotel untuk berehat dan bersarapan.

Ketika saya bersarapan, seorang jemaah lelaki warga tua menyapa saya dan bertanya:

“Hajah, ada hikmah aircond bas rosak.”

Saya bertanya: “Kenapa ya tuan haji?”

Jawabnya ringkas namun terkesan di hati saya.

“Tawaf kita dipermudahkan oleh Allah. Tidak ramai orang dan semua jemaah berkumpul sehingga selesai umrah.”

Termangu saya seketika dan dalam nada perlahan saya mengiyakan kata-katanya.

Jauh di sudut hati saya terfikir sembang seloroh jemaah lelaki yang alpa walaupun sudah berihram dan terikat dengan 13 pantang larang wajar dijadikan pengajaran.

Kelewatan menyempurnakan umrah kerana tersadai hampir satu jam di Jumum ada hikmah yang boleh dijadikan iktibar.

Jumum, Ustaz Ahyat, Bukit Magnet

Artikel Sebelum

Artikel Lain