KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu memperuntuk RM1 juta untuk menjalankan program kursus pembantu rumah tangga untuk wanita tempatan termasuk ibu tunggal, mulai Januari ini. Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu, Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata, kursus itu bertujuan mengatasi masalah pembantu rumah warga asing ketika ini. "Ini langkah baik untuk ibu tunggal, beliawanis atau siswazah (mencari pekerjaan selain) mengatasi masalah pembantu rumah warga asing," katanya kepada Bernama di sini. Beliau berkata, mereka yang berminat boleh mendaftar sekarang dengan YPK. Kursus percuma itu akan diadakan selama 20 hari dengan penyertaan 60 orang. "Mereka yang sihat dan mempunyai minat akan diberikan keutamaan untuk mengikuti kursus ini," katanya. Selain itu, peserta akan dibayar elaun semasa latihan.