suria

Komsas 2015: DBP Jamin Destinasi Impian Disunting Jadi Karya Versi Pelajar

PETALING JAYA: Dewan Bahasa dan Pustaka memberi jaminan setiap naskhah yang dipilih sebagai teks subjek Komponen Sastera (Komsas) bahasa Melayu perlu melalui proses penyuntingan menjadi karya versi pelajar.

Malahan, tugas yang menjadi tanggungjawab DBP itu dilaksanakan dengan teliti bagi memastikan matlamat pembelajaran dalam kelas tercapai.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Awang Sariyan berkata, pihaknya akan pastikan tiada unsur sensitif dan paling penting tidak mengundang kontroversi seperti mana yang berlaku terhadap naskhah Interlok sedikit masa dulu.

"Destinasi Impian telah menjalani proses penyuntingan dari segi bahasa dan ayat-ayatnya mengikut kehendak Kementerian Pendidikan selepas ia diputuskan menjadi salah sebuah buku teks Komsas.

"Dalam masa yang sama kita juga memastikan penyuntingan yang dibuat 'tidak lari' daripada karya asal penulis," katanya kepada mStar Online.

Sebelum ini, portal berita ini melaporkan mengenai pemilihan novel yang mengisahkan watak remaja lelaki lembut itu dipilih sebagai naskhah teks Komsas untuk pelajar Tingkatan Satu tahun depan.

Novel Destinasi Impian karya Mohd Ismail Sarbini itu mengisahkan bagaimana Firdaus, pelajar lelaki berperwatakan lembut berdepan cabaran apabila kemampuannya sering diperkecilkan rakan-rakan serta ahli keluarganya sendiri.

Pemilihan Destinasi Impian akan digunakan di sekolah menengah seluruh Selangor, Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Negeri Sembilan.

Bahagian Pengedaran dan Pemasaran DBP pula memaklumkan, semua naskhah yang dipilih untuk Komsas telah diedarkan ke sekolah-sekolah seperti yang ditetapkan Kementerian Pendidikan untuk digunakan sebagai bahan pembelajaran.

Selain Destinasi Impian, novel terbitan DBP lain yang dipilih untuk pelajar Tingkatan Satu ialah Sejambak Bakti, Pelari Muda dan Formula Termodinamik.

Menerusi novel ini, adanya nilai-nilai murni dan pengajaran di akhir cerita, tetapi watak Firdaus yang lembut membimbangkan sesetengah ibu bapa kerana menganggap isu yang diketengahkan kurang sesuai untuk pelajar berusia 13 tahun.

Sambil mempertahankan karya terbitan DBP, beliau berkata, pihaknya menjalankan penelitian sebelum novel itu dibawa ke Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) kementerian untuk dinilai sebagai buku teks.

"Watak itu juga setelah dinilai, tak akan menjadi isu. Watak Firdaus tidak mengajar tentang hubungan songsang atau perkara-perkara tidak baik, sebaliknya ia lebih menonjolkan tentang usaha untuk membuktikan kemampuannya apabila dicabar," katanya 








Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain