suria

Kapal Kontena Terbesar Dunia Berlabuh Di Westports Malaysia

Kapal kontena bersaiz empat padang bola ini berlabuh di Westports Malaysia ketika ini.

KUALA LUMPUR: Westports Malaysia sekali lagi melakar kejayaan apabila kapal kontena terbesar dunia, MV CSCL Globe, berlabuh buat pertama kalinya di terminal pelabuhan syarikat itu, Jumaat.

Kapal milik China Shipping Container Lines (CSCL) sepanjang 400 meter,  60 meter lebar dan lebih besar daripada empat padang bola sepak itu, dikenali sebagai 'A380 dalam industri perkapalan', kata Westports dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Ruben Emir Gnanalingam berkata kunjungan sulung itu tepat pada masanya berikutan penyiapan projek Terminal Kontena 7 (CT7) yang mampu menampung 11 juta unit kontena bersamaan dua puluh kaki (TEU).

"CT7 kami dilengkapi kren kapal ke darat tertinggi di dunia bagi mengendalikan kapal bersaiz mega dengan kapasiti 19,000 TEU.

"Selain menjadi kapal kontena terbesar dunia, pelabuhan kami mencipta satu lagi kejayaan melalui MV CSCL Globe apabila terlibat dalam proses mengangkat kontena 8 juta TEU dari kapal tersebut," katanya.

MV CSCL Globe yang sedang melaksanakan perkhidmatan AEX1 yang menghubungkan Asia ke Eropah, adalah antara lima kapal kontena dengan kapasiti 19,100 TEU.

CSCL dijangka menerima empat lagi kapal secara berperingkat menjelang hujung tahun ini dan awal tahun depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain