IPOH: Kadar residivis atau kemasukan semula banduan ke penjara menurun sebanyak 0.49 peratus sejak sistem parol dilaksanakan pada 2008, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Beliau berkata berikutan kejayaan sistem itu, kementerian akan memperkukuh 64 pejabat parol di negeri dan daerah yang melaksanakan sistem ODT (Orang Di Parol). "Kita berharap program parol ini dapat menjadikan mereka (banduan) kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat serta menjadi aset kepada negara dalam membekalkan tenaga kerja dan mengurangkan jenayah yang pernah dilakukan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Outreach di Mydin Meru Raya di sini, Sabtu. Parol adalah sistem pelepasan seseorang banduan untuk menjalani mana-mana bahagian hukuman pemenjaraannya di luar penjara menurut peraturan yang ditetapkan sesuatu Perintah Parol. Ahmad Zahid berkata, walaupun sistem itu dipelajari dari luar negara, namun kejayaannya melebihi daripada negara yang dipelajari. "Apa yang kita lakukan memberi kesan cukup baik dan kita harap ia dapat menukar persepsi masyarakat terutama kepada mereka yang pernah dipenjarakan," katanya. Beliau berkata, banduan yang layak dipertimbangkan untuk perintah parol ialah banduan yang tidak melibatkan hukuman berat seperti gantung sampai mati dan penjara seumur hidup. Terdahulu, dalam ucapannya Ahmad Zahid berkata sehingga 10 Disember lepas, seramai 9,423 ODT menjalani program parol dengan jayanya. "Bagi tahun 2010 kadar residivis ialah 7.23 peratus, 2011 (7.85 peratus), 2012 (7.97 peratus) dan tahun 2013 sebanyak 7.61 peratus, yakni masih berada di bawah sasaran yang ditetapkan sebanyak 10 peratus," katanya. Sekiranya sistem itu berjalan lancar, beliau menyarankan program hukuman di luar penjara diperluaskan bagi menjimatkan kos tanggungan kerajaan dan mengurangkan kesesakan dalam penjara. Selain itu, Ahmad Zahid berkata sejak 2008 hingga kini, seramai 120 orang banduan berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan, kolej dan institusi kemahiran awam serta swasta. Jabatan Penjara juga berjaya mendidik banduan yang tidak tahu membaca Al-Quran sehingga boleh menghafaz Al-Quran.