suria

Ibu Muda, Bayi Dua Hari Berpantang Di Pusat Pemindahan

Mariam Abdul Rahman, 22, menidurkan bayinya yang baru berusia 2 hari, Siti Aisyah Mohd Khairi di Sekolah Kebangsaan Balai Besar yang dijadikan pusat pemindahan mangsa banjir di Dungun, Ahad. Foto BERNAMA
DUNGUN: Seorang ibu muda yang sarat mengandung anak kedua, menempuh detik sukar setelah terpaksa meredah air banjir separas pinggang selepas kediamannya di Kampung Paya, di sini ditenggelami air sejak empat hari lalu.

Lebih memeritkan selepas tujuh jam ditempatkan di Pusat Pemindahan Sekolah Kebangsaan Balai Besar, Mariam Abd Rahman, 22, terpaksa bertarung kesakitan untuk melahirkan anak keduanya sebelum anggota keluarga bergegas membawanya ke Hospital Dungun pada Jumaat.

Ketika ditemui pemberita, Mariam yang kini berpantang di pusat pemindahan tersebut berkata rasa sakit hendak bersalin mula dirasai pada 1 pagi Jumaat sebelum suami dan keluarganya segera membawa beliau ke hospital.

"Masa dalam perjalanan tu, air banjir bertakung di kiri kanan jalan dan risau juga takut tidak sempat sampai dan terberanak dalam kereta.

"Alhamdulillah, saya selamat dan tiada masalah melahirkan bayi perempuan pada 6.24 pagi. Kenangan melahirkan anak kedua ini akan saya ingat dalam memori hidup saya," katanya.

Mariam dan bayi yang berusia dua hari itu diberi nama Siti Aisyah Mohd Hairi terpaksa berpantang di Pusat Pemindahan Balai Besar.

Jelasnya memang agak sukar untuk berpantang di pusat pemindahan, namun ini sahaja tempat berteduh yang ada dan khidmat jururawat Klinik Desa juga disediakan untuk memeriksa tahap kesihatan beliau dan anaknya.

Katanya pengalaman berpindah ketika menghadapi banjir tersebut sukar dilupakan setelah menempuh dua kali detik mencemaskan iaitu yang terakhir pada 7 malam Khamis selepas air naik mendadak di kawasan rumahnya.

"Walaupun agak sulit untuk melalui semua ini, namun saya bersyukur semuanya selamat. Sebenarnya saya menjangkakan akan bersalin dalam tempoh terdekat kerana tempoh saya telah lebih seminggu dari tarikh jangkaan," katanya.

Menurut Mariam, beliau bernasib baik kerana anggota keluarganya menyiapkan semua peralatan untuk dibawa ketika bersalin serta peralatan rumah sudah pun dialihkan sejak awal lagi.

Daerah Dungun masih mempunyai bilangan mangsa banjir paling ramai iaitu sehingga 12 tengah hari ini, 598 keluarga masih ditempatkan di 25 pusat pemindahan.


berpantang, banjir

Artikel Lain