suria

26 Terkandas Di Gunung Gagau Selamat

HULU TERENGGANU: Kesemua 26 orang, terdiri daripada 18 pekerja Jabatan Ukur dan Pemetaan dan lapan anggota Pasukan Gerakan Am yang terkandas di puncak Gunung Gagau, Kuala Berang, dilaporkan dalam keadaan selamat. 

Pegawai Perhubungan Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Rozizah Abni Hajar berkata kumpulan itu dilaporkan memasuki kawasan gunung tersebut sejak seminggu lalu menggunakan helikopter, namun kehabisan bekalan makanan.

Katanya berikutan cuaca buruk, mereka gagal untuk keluar ke base camp berhampiran. 

"Kita menerima laporan berhubung bantuan yang diperlukan untuk mangsa keluar dari Gunung Gagau pada Ahad dan operasi menyelamat digerakkan awal pagi Isnin dengan kekuatan 15 anggota," katanya. 

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Hulu Terengganu Mohd Zamri Omar berkata kumpulan itu dilaporkan berada pada kedudukan kira-kira 40 kilometer dari Base Camp Aring 5.

Beliau berkata ketika ini pasukannya sedang berusaha untuk membawa keluar kumpulan itu menggunakan laluan darat setelah usaha menyelamat menggunakan helikopter gagal berikutan cuaca buruk.

Tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan setakat ini, katanya dalam mesej melalui aplikasi Whatsapp.

Gunung Gagau, Kandas

Artikel Lain