suria

Keanggotaan PAC Selangor Tidak Cermin Keputusan Seimbang, Adil - Shamsuddin

SHAH ALAM: Keputusan kerajaan Selangor untuk mengekalkan komposisi anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Selangor tidak akan mencerminkan keputusan seimbang dan adil terhadap sesuatu perkara melibatkan kepentingan rakyat.

Bekas Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Datuk Mohd Shamsuddin Lias berkata Barisan Nasional (BN) Selangor melihat kenyataan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali semalam, hanya retorik politik bagi memesongkan isu sebenar di sebalik pelantikan anggota PAC negeri itu.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) BN Selangor berpendirian keanggotaan PAC Selangor tidak menunjukkan ciri-ciri amalan demokrasi seperti yang dicanangkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat (PR) selama ini, katanya.

"BN percaya rakyat Selangor sebilangan besarnya memahami motif sebenar permainan PR menjadikan isu keanggotaan PAC negeri sebagai modal politik semata-mata bagi menunjukkan mereka mengamalkan keadilan dan ketelusan dalam pentadbiran dengan melibatkan penyertaan BN dalam beberapa jawatankuasa DUN dengan menawarkan kemudahan tertentu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohd Shamsuddin yang juga Adun Sungai Burong, turut menegaskan bahawa BN Selangor tetap tidak akan menerima keanggotaan PAC negeri demi kepentingan rakyat malah tidak mahu terperangkap dengan permainan PR yang menggunakan konsep demokrasi untuk mencapai cita-cita politik mereka.

Pada 4 Disember lepas, persidangan DUN Selangor meminda peraturan tetap berkaitan dan mewajibkan ketua pembangkang dilantik pengerusi PAC dan berikutan itu, Mohd Shamsuddin meletak jawatan sebagai ketua pembangkang kerana enggan menerima kedudukan itu kerana mendakwa PAC negeri dimonopoli Adun PR, selain dilihat lebih berunsur muslihat politik.

pac

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain