suria

1,600 'Panda' Curi Tumpuan Di Dataran Merdeka

Siti Zubaidah Zakaria (kiri) dan Siti Zakiah Zakaria tidak melepaskan peluang mengambil gambar 'selfie' berlatar belakangkan 1600 patung panda yang diletakkan di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad sebagai tanda menyokong inisiatif kelestarian dan pemulihan alam sekitar pada Siri Jelajah Dunia '1600 Pandas' di Kuala Lumpur pada Ahad. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Kehadiran 1,600 'panda' di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad di sini pada Ahad menarik perhatian warga kota dan pelancong yang mengunjungi Dataran Merdeka sempena cuti sekolah dan cuti hujung minggu.

Patung berbentuk panda dalam pelbagai aksi yang dipamerkan di atas jalan itu menjadi simbol kepada anggaran bilangan haiwan itu di dunia bagi meneruskan survival dalam habitat liar.

Ia merupakan sebahagian daripada 'Siri Jelajah Dunia 1,600 Panda', yang kini berlangsung di Malaysia mulai hari ini hingga 25 Jan 2015 bagi menyedarkan orang ramai tentang ancaman kepupusan haiwan berkenaan.

Ketika melancarkan acara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong berkata siri jelajah itu akan singgah di 15 lokasi di Malaysia termasuk Dataran Putrajaya, Batu Caves di Selangor, Menara Condong Teluk Intan di Perak dan Bangunan Stadthuys di Melaka.

Menurutnya acara itu boleh memupuk kesedaran orang ramai terutama golongan muda berhubung pemuliharaan alam sekitar dan kebajikan haiwan secara pendekatan yang kreatif dan artistik.

"Anda boleh melihat anak-anak muda begitu berminat dalam acara hari ini dan saya gembira pameran ini melibatkan lokasi ikonik lain di negara ini," kata Mah merujuk kepada kehadiran golongan muda di acara berkenaan sambil mengambil gambar dengan patung panda.

Menurut firma perunding pemasaran bersepadu Faster Advertising Group, yang menganjur siri jelajah itu di Malaysia, acara itu diadakakan dengan kerjasama Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) dan artis arca terkenal Perancis, Paulo Grangeon.

Sejak 2008, pameran itu dianjurkan di beberapa lokasi seperti di Perancis, Belanda, Itali, Jerman, Switzerland, Taiwan dan Hong Kong. 
Malaysia merupakan lokasi ketiga pameran 1,600 panda itu berlangsung di rantau Asia.

Orang ramai boleh memiliki 1,600 patung panda itu sebagai 'anak angkat', secara dalam talian di laman facebook 1,600-pandas-MY, dengan membayar RM150 seunit mulai 12 Januari depan.
panda, Dataran Merdeka

Artikel Berikut

Artikel Lain