suria

Mayat Lelaki Terdampar Di Pulau Kapas

KUALA TERENGGANU: Mayat seorang lelaki yang masih lengkap berpakaian ditemui terdampar di pesisir Pulau Kapas pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Idris Abd Rafar berkata penemuan mayat itu disyaki mempunyai kaitan dengan remaja yang hilang di muara sungai Kuala Ibai lebih seminggu lalu.

Katanya mayat berkenaan ditemui kira-kira pukul 3.20 petang semalam oleh orang awam sebelum dibawa balik ke sini oleh lapan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dari Daerah Maritim Kuala Terengganu (DM9) serta lima anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu.

Katanya mayat berkenaan dibawa ke jeti DM9 di Pulau Kambing pada kira-kira jam 10.35 malam tadi dan diserahkan kepada polis.

"Hasil pengecaman yang dilakukan oleh keluarga mangsa berdasarkan pakaian tersebut kita percaya ia mangsa yang lemas di Kuala Ibai namun siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Pada 14 Dis lalu, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang, seorang remaja Muhamad Amiro, dari Binjai Rendah, Marang, dipercayai hilang selepas dibawa arus deras ketika mandi di muara sungai di Taman Rekreasi Kuala Ibai, di sini.

Mayat, Pulau Kapas, Polis

Artikel Berikut

Artikel Lain