Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Nor Mahathir Muhamad berkata mangsa yang masih hilang itu dipercayai terpisah dengan kumpulan yang ditemui hari ini kerana menggunakan laluan berbeza untuk keluar dari kawasan berkenaan.
"Enam mangsa yang belum dijumpai itu dipercayai bergerak menggunakan laluan lain ke arah Tasik Kenyir, namun kami yakin mereka tidak jauh dari tempat kumpulan hari ini ditemui," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata semua mangsa yang diselamatkan itu berada dalam keadaan sihat dan dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan lanjut.
Namun, cuaca buruk menyebabkan helikopter untuk membawa mereka pulang tidak dapat mendarat.
Pada Isnin lepas, 26 orang yang terdiri daripada 22 petugas Seksyen Topografi Jupem serta empat anggota PGA, diselamatkan setelah mereka terkandas selama empat hari di puncak Gunung Gagau.
Nor Mahathir berkata operasi menyelamat mangsa yang masih hilang itu akan diteruskan esok, berikutan cuaca buruk, laluan licin serta arus deras di hulu Tasik Kenyir hari ini.
"Kita akan teruskan operasi melalui laluan air dan darat esok. Kita tidak dapat melakukan operasi melalui udara kerana cuaca buruk ketika ini," katanya.